PRU14: Polis sudah digerakkan ke kawasan 'hot spot' - Timbalan Perdana Menteri




KLUANG, 13 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri telah mula menggerakkan sejumlah pegawai dan anggota polis ke kawasan yang dijangka menjadi panas pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu dibuat ekoran ramalan polis bahawa terdapat tujuh lokasi di negara ini berkemungkinan menjadi 'hot spot' sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kumpulan yang ditugaskan untuk memantau keadaan akan menghantar terus hasil pemantauan dan laporan mereka kepada Bukit Aman bagi tindakan susulan.

"Arahan saya jelas agar pihak penguat kuasa (polis) tidak memihak, mereka harus menjadi agensi yang menterjemah proses demokrasi di negara ini.

"Polis harus menumpukan perhatian terhadap kawasan yang dipanggil 'hotspot' dan 'flashpoint', selain 1,131 individu yang dikenal pasti akan membangkitkan isu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat di Batu 3, Kluang, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan sebagai kerajaan sementara, pihaknya akan memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.

Ini termasuk sebelum proses penamaan calon, selepas penamaan calon, ketika berkempen, hari pengundian, serta selepas hari pengundian, katanya.

Pada majlis itu juga, beliau merasmikan pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Johor Fasa 5 serta menyampaikan Sijil Tawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Daerah Kluang.

Hadir sama, isteri Ahmad Zahid Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha BN Johor merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota Datuk Md Jais Sarday.

Mengulas mengenai pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur yang bakal dijalankan di daerah itu, Ahmad Zahid menyifatkan ia membuktikan keprihatinan kepemimpinan BN terhadap keperluan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata keprihatinan ADUN BN telah memberi perkhidmatan terbaik berbanding 'orang lain' (pembangkang) yang menjadikan Kluang tempat transit.

Timbalan Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya membina 600 sekolah agama dan dalam masa yang sama, tidak melupakan sistem pendidikan sekolah Cina dan Tamil di negeri ini.

-- BERNAMA