Ahmad Jazlan yakin pengundi luar Kelantan sokong BN

Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Gambar fail Bernama)
MACHANG, 13 April (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yakin pengundi luar akan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau berkata ini berikutan timbulnya kesedaran dalam diri mereka untuk memberi kepercayaan kepada BN selepas kegagalan PAS mentadbir negeri itu selama 28 tahun.
"Perubahan dalam kalangan pengundi luar ini adalah hasil gerakan bersepadu yang dilancarkan BN Kelantan di kawasan Lembah Klang dan Johor sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Bantu Rakyat dan perasmian Jalan Perhubungan Desa Padang Selising ke Padang Raja di sini, hari ini.
Mengenai calon yang akan bertanding di Kelantan, Ahmad Jazlan yakin tiada perebutan akan berlaku dan anggota UMNO akan patuh kepada keputusan pucuk pimpinan parti.
Beliau berkata mereka yang dicalonkan merupakan gandingan lama dan baharu termasuk daripada pergerakan sayap parti serta tokoh-tokoh agama berkaliber.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi PRU14 ialah pada 9 Mei, hari penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal ialah 5 Mei.
-- BERNAMA