Manifesto BN Terengganu: Rakyat terus terima limpahan kekayaan dan kemakmuran
KEMAMAN, 13 April (Bernama) -- Rakyat Terengganu akan terus menerima limpahan kekayaan dan kemakmuran menerusi 20 aku janji atau manifesto yang dilancarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan manifesto yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam adalah agenda besar BN dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini dalam pelbagai bidang.
"Sudah tentu rakyat akan terus menikmati pelbagai peluang pekerjaan menerusi projek-projek yang akan dilaksanakan di negeri ini di mana ia akan mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan.
"Begitu juga dengan kecemerlangan pendidikan...keutamaan kerajaan negeri Terengganu dalam memberikan peluang pendidikan kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah (dalam manifestor) agar hasilnya nanti mereka dapat kembali memacu ekonomi Terengganu menerusi kerjaya masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Kijal dan Program Jualan Jimat Belanja Dapur di Pantai Telok Kalong, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Ahmad Said.
Dalam manifesto tersebut yang dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, antara aku janji kerajaan BN Terengganu ialah membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup seperti memperkenalkan kad harga patut kepada mereka yang tersenarai dalam e kasih, OKU, ibu tunggal dan anak yatim dan memperluaskan program jualan sentuhan rakyat bagi meningkatkan taraf ekonomi dan memastikan peluang pekerjaan dan perniagaan mengutamakan rakyat Terengganu dalam projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).
Sementara itu, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti bagi menentukan sama ada namanya tersenarai semula sebagai calon BN untuk Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) meskipun menerima sokongan padu dari pengundi di Parlimen itu.
"Saya menyerahkan segala-galanya kepada pucuk pimpinan parti... saya pasti apa yang ditentukan oleh pemimpin atasan adalah yang terbaik dan saya terima dengan redha atas segala keputusan," kata beliau.
-- BERNAMA