BN komited pastikan aspirasi golongan muda tercapai - Ahmad Zahid





KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) komited dalam memastikan aspirasi dan kehendak golongan muda terutama dalam aspek kerjaya, memiliki kediaman, pembiayaan dan latihan kemahiran terus diberi perhatian.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelbagai platform digunakan untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan muda, termasuk menerusi karnival kerjaya Pemuda BN yang kini memasuki kali ke-38 sejak diadakan pada 2011.

Katanya kepedulian BN untuk menterjemah aspirasi dan kehendak anak muda bukan hanya di atas kertas atau pun bermusim, malah ia telah dilaksanakan sejak sekian lama.

"Manifestasi komitmen kita bukan bermusim, ia telah dilaksanakan sejak 2011 malah jika diberi peluang, kita akan terus memberi sokongan," katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Pemuda BN 2018, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga ketua pemuda BN.

Ekspo yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menawarkan lebih 50,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh lebih 200 pempamer terdiri daripada agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahmad Zahid berkata empat segmen yang ditawarkan dalam expo itu termasuk karnival peluang kerjaya, rumah mampu milik, latihan kemahiran dan dana keusahawanan adalah selaras dengan usaha berterusan BN bagi memenuhi aspirasi yang dibangkitkan golongan muda.

Menurut beliau, manifesto BN yang menjanjikan tiga juta pekerjaan dalam tempoh lima tahun dengan sasaran 600,000 peluang pekerjaan setiap tahun kepada golongan muda tidak sukar dilaksanakan kerana ia dirancang secara teliti melalui progam yang berstruktur seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta mengambil kira perniagaan dalam talian.

"Dalam hal ini, kita harap pembiayaan oleh institusi kewangan dan perbankan akan memikirkan kaedah pinjaman yang fleksibel dan tidak membebankan golongan muda," katanya.

Selain itu, katanya, BN juga memberi perhatian dalam aspek pemilikan rumah oleh golongan muda dengan menyediakan pelbagai skim termasuk kemudahan pembiayaan.

Beliau turut menyarankan penubuhan sebuah sekretariat untuk menyelaras dan menyeragamkan latihan kemahiran yang ditawarkan oleh pelbagai agensi kerajaan, agar tidak berlaku pertindihan.

Ahmad Zahid turut mencadangkan Khairy dilantik mempengerusikan sekretariat tersebut.

-- BERNAMA