Masalah sampah, denggi di Selangor diselesaikan jika BN memerintah - Najib





KAJANG, 14 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan masalah air, sampah dan denggi yang membelenggu rakyat Selangor akan dapat diselesaikan jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir negeri itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Dalam ucapannya semasa melancarkan majlis pecah tanah Projek Naik Taraf Hospital Kajang (Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak) di sini hari ini, Perdana Menteri menegaskan tidak ada gunanya sebuah hospital moden dibina di negeri itu sekiranya kerap terputus bekalan air.

"Soal air kita letak paling tinggi. Soal sampah penting juga. Mungkin kedua. Kita tak mahu Selangor dikenali sebagai 'darul sampah' atau 'darul denggi'. Denggi pun kita kira tinggi juga keutamaan dan saya beri jaminan ini (untuk selesaikan)," kata beliau.

Beliau turut membacakan serangkap pantun dalam ucapannya bagi menggambarkan komitmen BN untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat jika menang dalam PRU14:

Tercari terowong di Pulau Pinang

Terjumpa baldi di negeri Selangor

Barisan Nasional kena menang

Barulah rakyat aman makmur.

Dalam pada itu, Najib berkata terdapat dua Langkah Kajang yang berbeza iaitu yang pertama, dilakukan pembangkang pada 2014 namun gagal mencapai manfaat.

"Tidak kesampaian matlamatnya walaupun Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) menang (dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang). Tetapi ia mencetuskan krisis besar dalam kerajaan negeri Selangor dan ia menyusahkan rakyat apabila sengaja diadakan pilihan raya kecil," katanya.

Najib berkata Langkah Kajang yang memberi manfaat kepada rakyat adalah daripada BN sendiri, apabila beliau turun padang melakukan tinjauan mesra dan memberikan kemudahan terbaik kepada rakyat termasuk pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) dan projek naik taraf Hospital Kajang.

-- BERNAMA