Calon BN perlu pastikan kemenangan, buktikan pemilihan mereka tepat - Ahmad Zahid





KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diminta membuktikan kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan parti kepada mereka dengan memastikan kemenangan di kerusi yang ditandingi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga timbalan pengerusi BN berkata calon BN perlu memastikan kemenangan walaupun sesukar mana pun kawasan yang ditandingi.

"Bila peluang datang, jangan toleh kiri kanan. Tidak ada istilah undur atau kecewa, cuma kemenangan dan terus berada di barisan hadapan dan pastikan kemenangan."

"Pastikan jangan malukan BN bila kita telah beri tempat. Sesukar mana pun kawasan yang ditandingi, buktikan pada saya dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kemenangan tetap pada BN," katanya.

Beliau berucap di majlis perasmian Ekspo Pemuda BN 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ekspo yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menawarkan lebih 50,000 peluang pekerjaan oleh lebih 200 pempamer terdiri daripada agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda BN.





Ahmad Zahid turut mengingatkan mereka yang tidak terpilih sebagai calon untuk tidak merasa terlalu kecewa malah terus membantu jentera BN.

Beliau berkata Pemuda BN juga harus diberi lebih peluang untuk bertanding.

"Saya amat yakin jika diberi peluang, mereka akan dapat memperlihatkan prestasi yang lebih baik berbanding orang lain yang selama ini diberi peluang. Saya yakin kerana saya juga datang dari kilang pemuda," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei sebagai hari pengundian bagi PRU14.

-- BERNAMA