BN pastikan lebih banyak rumah mampu milik dibina di Sabah
BEAUFORT, 14 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sabah akan sentiasa memastikan lebih banyak rumah dengan harga berpatutan dibina di negeri ini untuk manfaat penduduk.
Oleh itu, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mengingatkan pemaju projek perumahan supaya memastikan rumah yang dibina berkualiti dan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
"BN sentiasa bekerja memberi banyak rumah supaya rakyat dapat keselesaan. Kita terus berusaha memastikan seberapa banyak pemaju boleh membina rumah untuk rakyat di negeri ini tetapi janganlah jual dengan harga yang mahal sangat," katanya ketika merasmikan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Beaufort di tapak Projek PR1MA Woodford Estate di sini hari ini.
Syarikat pemaju tempatan Gaya Belian Sdn Bhd membangunkan projek PR1MA itu dengan 620 unit rumah teres yang dijangka siap dalam suku ketiga tahun ini.
Musa juga berharap lebih banyak pemaju dalam kalangan masyarakat tempatan mengusahakan projek pembinaan perumahan di negeri ini, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.
"Inilah cara kita memberi kemahiran kepada anak tempatan kita untuk mempelajari teknologi baharu," katanya.
-- BERNAMA