Azlan Man yakin pengundi Melayu akan tolak pembangkang di Perlis
KANGAR, 14 April (Bernama) -- Perlis tidak memerlukan manifesto khusus berikutan keyakinan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man bahawa 'tsunami Melayu' iaitu pengundi Melayu menolak pembangkang akan berlaku di negeri ini pada pilihan raya umum ke-14.
Katanya sembilan projek bernilai RM410 juta diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melawat Perlis awal tahun ini dengan Bajet 2018 memfokus pada tiga isu utama yang memenuhi hampir semua keperluan penting rakyat.
Menurutnya tiga isu tersebut ialah masalah bekalan air, menangani banjir serta membina dan menaik taraf jalan dan pemasangan lampu jalan dan semuanya sedang dilaksanakan mengikut fasa.
"Pembangkang sedaya upaya memainkan emosi rakyat dengan isu nasional yang diulang berkali-kali kerana tiada isu tempatan dengan harapan dapat mempengaruhi pengundi menjelang PRU14."
"Jadi, manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini, itulah manifesto kita," kata Azlan kepada pemberita semasa ditemui pada program Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.
Beliau berkata projek mitigasi untuk mengatasi masalah banjir yang dilaksanakan sejak dua tahun lepas hampir selesai dan dijangka dapat mengatasi masalah banjir.
Katanya pembangkang mendakwa manifesto BN tidak masuk akal dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah dedak, GST membebankan tetapi mereka tidak pula beri cadangan lebih bernas namun akan terus melaksanakan BR1M jika menang PRU14.
"Saya cabar pembangkang gugurkan BR1M dan nyatakan sistem baharu yang efektif untuk mengutip hasil negara yang hilang akibat penghapusan GST dan sebagainya," kata Azlan.
Katanya ekonomi Malaysia diperakui stabil dan baik oleh agensi penarafan antarabangsa namun pembangkang membuat dakwaan bercanggah bahawa negara ini sedang menuju kebangkrapan dan ia adalah tidak benar.
"Rakyat berhak membuat pilihan tetapi bukan dengan emosi sebaliknya menggunakan akal dan fikiran yang waras tetapi berdasarkan fakta-fakta ini saya yakin tsunami Melayu akan berlaku dan BN akan terus memperkukuhkan kedudukannya di Perlis," tambah beliau.
-- BERNAMA