Gerakan: Rakyat Pulau Pinang perlu undi kerajaan berorientasikan rakyat, bukan perniagaan
GEORGE TOWN, 14 April (Bernama) -- Gerakan Pulau Pinang meminta rakyat negeri ini berfikir secara rasional sama ada kerajaan Pakatan Harapan adalah berorientasikan perniagaan atau rakyat selama 10 tahun lepas.
Naib pengerusinya, Oh Tong Keong berkata cadangan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) jelas mempunyai kepentingan perniagaan bagi sebuah konsortium perniagaan apabila kerajaan negeri menukarkan tanah bagi pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang berharga RM27 bilion, tetapi tidak pernah menyebut tentang kegunaan tanah berkenaan yang ditambak untuk dijadikan tiga pulau buatan manusia dalam PSR.
"Kami tidak menolak kemungkinan tiga pulau yang ditambak itu akhirnya akan menjadi tanah yang akan digunakan konsortium berkenaan untuk memajukan projek perumahan mewah. Adakah Pulau Pinang menjual kepentingan rakyat negeri ini?," tanya beliau.
Oh berkata projek penambakan laut bukan perkara baharu di Pulau Pinang kerana pada 1976, kerajaan Barisan Nasional (BN) menambak laut di kawasan Gat Lebuh Macallum seluas 25 hektar bagi membina rumah pangsa untuk rakyat, termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR) dan lebuh raya.
Katanya, rakyat Pulau Pinang perlu memelihara alam sekitar dan menolak agenda sulit pihak tertentu dengan mengundi BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk membatalkan projek PSR sekiranya BN kembali berkuasa di negeri ini.
"Lebih-lebih lagi, PSR akan mengakibatkan kemusnahan besar terhadap alam sekitar, terutama merosakkan dengan teruk ekologi marin serta menjejaskan mata pencarian nelayan. Projek tambakan laut secara besar-besaran itu juga akan mengubah rupa bumi pulau ini," katanya.
-- BERNAMA