BN laksanakan projek infrarakyat untuk kemudahan semua - Fadillah

KUCHING, 14 April (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan projek infrarakyat atau infrastruktur untuk rakyat bagi menaik taraf kehidupan masyarakat secara menyeluruh.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata setiap projek yang dilaksanakan dirancang menerusi mesyuarat dan perbincangan melibatkan jabatan serta agensi kerajaan persekutuan dan negeri.
Katanya selaku menteri yang dipertanggungjawabkan, beliau sering mengadakan mesyuarat dan perbincangan bersama pegawai Jabatan Kerja Raya Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak serta beberapa agensi lain.
"Bila kita kenal pasti ada permasalahannya kita akan minta mereka mengkaji dan menilai semula apa yang boleh dilaksanakan selepas timbul perkara berbangkit.
Biarpun begitu ada pula orang yang mengambil peluang mengatakan seolah-olah mereka lah yang memperjuangkan nasib rakyat tapi sebenarnya kita telahpun mengetahui lebih awal lagi," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke jambatan baharu yang menghubungkan kawasan Matang dengan Stapok di sini hari ini.
Fadillah yang juga penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan seorang anggota parti pembangkang yang dikatakan 'bakal calon' kawasan itu telah membangkitkan isu kesesakan lalu lintas kesan pembinaan jambatan baharu itu.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata pihaknya menyedari segala permasalahan yang dihadapi rakyat malahan perkara tersebut sudah dibawa ke peringkat BN negeri.
"Apa masalah yang dihadapi oleh rakyat telah pun kita ketahui dari awal, apabila kita melaksanakan projek fokusnya ialah kepada rakyat dan untuk kebaikan serta memudahkan rakyat. Komitmen ini kita gelar sebagai infrarakyat
Tidak ada orang yang buat projek untuk kroni serta kebaikan orang tertentu sahaja. Kerajaan BN fokus kepada projek rakyat, itu adalah amanah dari Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sarawak (Datuk Patinggi) Abang Johari Tun Openg kepada kami,? katanya.
--BERNAMA