Sedikit masalah 'sana sini' lazim pada setiap PRU - Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 14 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sedikit masalah 'sana sini' termasuk soal calon merupakan perkara lazim pada setiap pilihan raya umum (PRU).
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata pemantauan dibuatnya terhadap semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara yang akan ditandingi calon BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mengakui Perak menghadapi paling sedikit masalah.
"Pengumuman calon (BN di Perak) tidak dibuat kerana menunggu arahan daripada ibu pejabat BN. Apabila signal dihantar oleh ibu pejabat, diserahkan kepada Pengerusi BN Perak (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) untuk buat pengumuman," katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Ulang Tahun Rela Ke-46 peringkat negeri di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa isu melibatkan ketua bahagian adalah antara faktor yang menyebabkan BN Perak masih tidak memuktamadkan senarai calonnya.
Beliau juga berkata pada program turun padang dilakukannya di negeri-negeri mendapati masalah yang timbul pada pilihan raya umum kali ini 'tidak sebesar' pada pilihan-pilihan raya sebelum ini.
"Ini menunjukkan kesiapsiagaan jentera dan juga penerimaan calon yang bakal mewakili BN diterima dengan baik kepimpinan peringkat akar umbi, sama ada di Parlimen atau DUN," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak akan memuktamadkan pengagihan beberapa lagi kerusi dalam kalangan komponen BN termasuk kerusi Parlimen Wangsa Maju dan Parlimen Bandar Tun Razak.
Beliau menjelaskan pada PRU13, kerusi Wangsa Maju dipinjamkan kepada UMNO daripada MCA.
"Saya nasihatkan agar semua menghormati sebarang keputusan yang dibuat pengerusi BN," katanya sambil menambah bahawa semangat sepasukan penting untuk menterjemahkan kemenangan BN pada PRU14.
Sementara itu, Zambry berkata beliau akan mengumumkan senarai calon BN Perak apabila menerima arahan daripada BN pusat.
"Kami tidak mempunyai masalah. Kami melalui proses musyawarah terbaik sekali. Walaupun terdapat masalah-masalah kecil tetapi ia sudah selesai," katanya.
-- BERNAMA