Pengundi diminta bijak pilih pemimpin





PASIR SALAK, 14 April (Bernama) -- Pengundi diminta bijak memilih pemimpin yang mampu memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan yang diwakili mereka berbanding memilih pemimpin yang hanya tahu menabur janji manis.

Justeru, anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pengundi perlu memilih pemimpin Barisan Nasional (BN) bagi memastikan pembangunan di kawasan itu dapat diteruskan.

Beliau berkata, memilih pembangkang amat merugikan pengundi itu sendiri kerana telah terbukti pembangkang tidak mampu memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan yang diwakilinya.

"Rakyat perlu menolak (pembangkang) sebab dalam tempoh lima tahun (pembangkang) tak buat apa apa, tabur janji tapi tak pernah ditunaikan, bila tak mampu tunaikan, mereka lari (bertanding) ke kawasan lain.

"Berbanding kita (BN) sentiasa konsisten (memberi perkhidmatan) sepanjang musim bukan hanya tunggu pillihan raya? rakyat pun tak mahu ditipu dan dimanipulasi oleh janji manis pembangkang," katanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Briged Gempur Pemuda BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manik di sini hari ini.

-- BERNAMA