Istilah kekecewaan tidak wujud dalam Pemuda BN - Khairul Azwan

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Istilah kekecewaan tidak wujud dalam pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Pengerusi Pemuda BN Khairul Azwan Harun.
"Kita (pemuda BN) sentiasa mendokong aspirasi untuk mempertahankan wadah BN dan yakin akan kemenangan parti," katanya sebagai mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar tidak kecewa sekiranya tidak terpilih sebagai calon bagi pilihan rayau mum ke-14 (PRU14).
Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Ekspo Pemuda 2018 edisi ke-38 yang dilancarkan Ahmad Zahid, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini, Khairul Azwan memohon pucuk pimpinan untuk mempertimbangkan keperluan mengetengahkan lebih ramai calon pimpinan pemuda dan puteri sama ada di peringkat Parlimen atau negeri.
"Itu aspirasi kami. Jadi selagi mana belum diumum dan disahkan calon bermakna Khairy Jamaluddin, (Menteri Belia dan Sukan dan juga Pengerusi Pemuda BN) dan saya akan berusaha untuk mempromosi calon Pemuda yang kita fikir sesuai dan boleh diketengahkan," katanya.
Mengenai dakwaan Ekspo Pemuda adalah gimik politik BN bagi menarik undi, Khairul Azwan berkata pihak berkenaan hanya pandai melontarkan tomahan tanpa mengetahui program itu dianjurkan sejak 2011, yang ketika itu dikenali 'Karnival Kerjaya Pemuda BN' dan dijenamakan sebagai 'Ekspo Pemuda' pada 2013.
Khairul Azwan berkata ekspo kerjaya itu turut membuktikan bahawa BN tidak menunggu selepas PRU14 kerana ia telah menyediakan dan memadankan pelbagai peluang kerjaya kepada golongan muda dengan industri.
"Baru minggu lepas kita lancarkan manifesto khusus orang muda dipanggil Jaminan Orang Muda (JOM). Dalam manifesto itu kita memberi akujanji dan pelbagai jaminan pilihan raya dan program yang akan dibuat tetapi kita tidak tunggu pun," katanya dan menegaskan JOM sangat realistik untuk memenuhi aspirasi orang muda.
Khairul Azwan berkata ekspo kerjaya ke-39 akan diadakan di Bagan Datuk pada 21 April, yang bakal menawarkan lebih 10,000 peluang kerjaya kepada anak muda.
Pada majlis itu, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Kementerian Belia dan Sukan bertukar-tukar dokumen yang memberi peluang latihan kemahiran kepada 1.5 juta anggota Pesaka menerusi Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ekspo Pemuda 2018 yang menawarkan lebih 50,000 peluang pekerjaan oleh 200 pempamer itu memfokuskan empat perkara iaitu kerjaya, rumah mampu milik, latihan kemahiran dan dana keusahawanan.
Ia menyasarkan penglibatan ahli akademik, pembeli hartanah, graduan, pelabur, pekerja profesional, penyedia perkhidmatan dan pelajar yang mencari tempat latihan industri.
-- BERNAMA