Beberapa berita palsu dikesan menjelang penamaan calon - Chong




File Bernama

SEREMBAN, 14 April (Bernama) -- MCA mengesan beberapa berita palsu yang tular di media sosial menjelang hari penamaan calon pilihan raya umum ke-14 pada 28 April ini, bertujuan mempengaruhi emosi masyarakat.

Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Chong Sin Woon berkata mesej yang mula tersebar sejak minggu lepas itu, antara lain, kononnya tentang cara mengundi bahawa pengundi perlu menandakan kotak di kertas undi dengan garisan silang dari penjuru ke penjuru.

"Mesej berkenaan turut menerangkan bahawa tanda pangkah yang tidak mengenai penjuru kotak di dalam kertas undi dianggap salah, sekaligus mengelirukan masyarakat termasuk pengundi kali pertama. Kalau tersilap sedikit di mana tanda itu terkeluar sedikit daripada kotak, ia dikira sebagai undi ragu.

"Ada satu kumpulan atau gerakan yang menularkan berita-berita ini di WhatApps dan Facebook dan ramai yang percaya," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Selain itu, Chong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata terdapat pelbagai lagi mesej yang tular di media sosial, dengan mendakwa kertas undi telah ditandakan dengan titik hitam oleh Barisan Nasional (BN), dan masyarakat Cina yang keluar berhibur di kelab malam beberapa hari sebelum hari pengundian akan ditahan polis bagi mengelakkan mereka daripada mengundi.

Chong yang juga calon BN bagi Parlimen Seremban menjelaskan kesemua tuduhan dan mesej yang ditularkan pihak tertentu di media sosial itu adalah palsu.

"Kita mempunyai Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (yang diwartakan 11 April lepas) dan melalui akta ini, kita akan lihat bagaimana akta tersebut boleh memainkan peranan bagi mengurangkan berita palsu yang tersebar, sekiranya kita gagal menghapuskan semuanya sekali," katanya.

Turut hadir Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan Leaw Kok Chan dan Ketua MCA Bahagian Seremban Siow Koi Voon.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 9 Mei sebagai hari pengundian, manakala penamaan calon pada 28 April dan pengundian awal pada 5 Mei.

-- BERNAMA