BN yakin rampas semula DUN Sikamat




File Bernama

SEREMBAN, 14 April (Bernama) -- Barisan Nasional yakin akan dapat merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) , kata Ketua Pemuda MCA pusat Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata BN menerima isyarat positif daripada pengundi di kawasan berkenaan hasil pelbagai gerak kerja yang dilaksanakan sepanjang lima tahun lepas bagi meyakinkan pengundi di kawasan DUN itu.

"Keadaan sekarang berbeza dari lima tahun yang lalu. Isu-isu dalaman sudah reda dan kita sangat bersatu padu. Penyokong kita pun telah bertambah jadi kita yakin boleh merampas semula Sikamat sekali gus dapat membantu kepada kemenangan Parlimen Seremban," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat DUN Sikamat anjuran Persatuan Malayali Sikamat di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Bahagian UMNO Seremban Datuk Abu Ubaidah Redza.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 31 Dis tahun lepas mengumumkan Chong, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan adalah calon BN bagi kerusi Parlimen Seremban pada PRU14.

Kerusi itu yang diwujudkan pada 1974, kini disandang Anthony Loke Siew Fook dari DAP.

Loke memenangi kerusi itu pada PRU13, dengan majoriti 12,553 undi menewaskan mendiang Datuk Dr Yeow Chai Thiam daripada BN dan tiga calon Bebas.

Sementara itu, Abu Ubaidah berkata tidak kira siapa pun calon yang bakal bertanding di DUN Sikamat, jentera BN akan memastikan kawasan berkenaan dapat ditawan semula.

"Tidak kira BN meletakkan calon muda atau calon veteren insya-Allah dengan strategi yang betul, kita yakin kita boleh menang," katanya.

Pada PRU13 lepas, BN yang diwakili Wan Salwati Abdullah tewas kepada Aminuddin Harun daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 510 undi.

-- BERNAMA