Wakil rakyat prihatin, berintegriti, berwawasan jadi pilihan belia

Gambar hiasan
SEREMBAN, 15 April (Bernama) -- Wakil rakyat yang prihatin, penuh integriti dan berwawasan. Itu antara kriteria pengundi muda terhadap bakal calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kali ini.
Rata-rata mereka berpendapat, calon yang mesra serta memahami aspirasi segenap lapisan masyarakat sudah tentu akan mendapat tempat di hati rakyat.
Bakal graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris Marliyana Ismail, 24, mengharapkan calon yang akan dipilihnya mampu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.
"Saya berharap calon di kawasan saya pada PRU14 ini lebih prihatin membantu golongan belia mendapatkan pekerjaan tetap," katanya kepada Bernama di sini.
Pekerja swasta Muhamad Tajul Arief Mohd Fuad, 24, pula mahukan pemimpin yang memberi peluang dan ruang kepada anak muda menyuarakan pelbagai idea dan pandangan ke arah kemajuan negara.
"Selain itu, pemimpin yang bebas daripada sebarang isu juga penting kerana apabila terpalit, ia boleh mengakibatkan golongan belia hilang kepercayaan," katanya.
Bagi penjawat awam, Zaid Asyraf Nor Azmi, 27, katanya bekas wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) di kawasannya sebelum ini telah menjalankan tugas dengan sangat baik.
"Saya amat berharap beliau masih dikekalkan kerana kerja yang beliau laksanakan sebelum ini amat baik sehinggakan masyarakat mudah untuk berurusan dengan beliau," katanya.
Pandangan Zaid Asyraf turut dikongsi Nor Khasidah Abd Wahab, 30, yang menyifatkan calon yang mempunyai idea baharu serta muda akan mudah menarik perhatian rakyat, malah ia turut menjadi kriteria utama dalam pertimbangannya.
"Saya ingin melihat seorang wakil rakyat yang mempunyai idea-idea baharu dalam membangunkan suatu kawasan?mereka haruslah terdiri daripada generasi muda yang memiliki ilmu yang luas dalam pelbagai bidang."
"Mereka yang berfikiran terbuka dan berilmu akan mampu menarik rakyat untuk lebih peka dengan apa jua isu yang berlaku dalam negara," katanya.
-- BERNAMA