BN Perak jangka umum manifesto Rabu ini - Zambry

IPOH, 15 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perak dijangka mengumumkan manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada Rabu ini (18 April), kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Pengerusi BN Perak itu berkata manifesto berkenaan merupakan satu perancangan yang holistik untuk rakyat di negeri ini terutamanya dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
"Saya akan umumkan dalam satu majlis, kita jangkakan Rabu. Manifesto ini merupakan satu manifesto yang menyeluruh dan bukan hanya menabur gula-gula dan harapan palsu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-21 Majlis Belia Negeri Perak di sini, hari ini.
Ketika diminta mengulas mengenai calon pada PRU14, Zambry berkata proses pemilihan calon telah selesai dan beliau kini hanya menunggu 'lampu hijau' daripada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum mengumumkannya secara rasmi.
Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa BN Perak masih belum memuktamadkan senarai calon kerana terdapat perbalahan atau salah faham di antara parti-parti komponen BN dalam negeri ini.
"Ini dakwaan yang tidak benar kerana negeri Perak adalah negeri yang paling kurang bermasalah. BN Perak akan melakukan perbincangan yang menyeluruh dalam membuat sesuatu keputusan dengan objektif utama iaitu (memastikan) kemenangan kita nanti."
"Persoalan kerusi itu milik parti tertentu, atau kerusi tradisi parti tertentu juga tidak timbul, matlamat utama kita adalah untuk menang, siapa boleh menang orang itu akan bertanding," katanya.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya Zambry berkata belia dan anak muda negeri Perak perlu bersatu hati dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negeri dan negara ini.
Katanya kestabilan yang diperoleh kini adalah disebabkan oleh kepimpinan kerajaan sedia ada yang meletakkan agenda rakyat sebagai agenda utamanya.
-- BERNAMA