Hanya ingatkan rakyat jangan terjerat muslihat pembangkang - Nur Jazlan





JOHOR BAHRU, 15 April (Bernama) -- Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menjelaskan kenyataan dibuatnya sebelum ini berkaitan calon ?nomad' pembangkang hanya untuk mengingatkan rakyat agar tidak terjerat dengan muslihat pembangkang untuk memenangkan calon-calon nomad mereka.

Beliau menegaskan kenyataan beliau itu bukan bertujuan untuk menghalang rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Kerajaan sentiasa menggalakkan rakyat untuk keluar mengundi tetapi saya tidak mahu undi rakyat ini dicemari oleh sentimen pembangkang yang merasakan peluang calon nomad mereka untuk menang lebih cerah di sesebuah kawasan, sekiranya ia (undi) datang daripada pengundi luar (pengundi Malaysia di Singapura) yang balik."

"Kalau mereka (calon nomad) menang sekalipun, mereka tidak akan menjadi wakil rakyat yang berkesan kerana mereka bukan berasal dari kawasan yang mereka tandingi. Salah ke saya cakap macam tu?," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali yang mendakwa Nur Jazlan menafikan usaha rakyat Malaysia melaksanakan demokrasi mereka pada PRU14.

Kenyataan itu yang disiarkan sebuah portal propembangkang semalam adalah susulan kritikan Nur Jazlan terhadap kempen 'Jom Balik Undi' pembangkang yang disifatkannya hanya gimik politik dan tidak akan membantu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Nur Jazlan ditemui pemberita selepas melihat perkembangan pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sekitar Bandaraya Johor Bahru pada Program Tinjauan Mesra ke Zon Bandar, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nur Jazlan selaku penyandang kerusi Parlimen Pulai mempertikaikan keseriusan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub untuk berkhidmat kepada rakyat dengan bakal bertanding di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar.

"Nampak sangat dia (Salahuddin) tidak serius. Dia menawarkan diri bukan untuk berkhidmat kepada rakyat tetapi untuk menjadi menteri besar," katanya.

-- BERNAMA