Manifesto BN Johor lengkap, holistik - Ahmad Maslan




PONTIAN, 15 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) Johor yang dilancarkan semalam adalah manifesto yang lengkap dan holistik kerana merangkumi keperluan keseluruhan masyarakat, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata manifesto itu yang menekankan lima teras utama jauh lebih baik berbanding manifesto pembangkang yang menciplak idea dan usaha dilakukan kerajaan.

"Saya melihat Menteri Besar Johor sentiasa melihat Johor secara holistik dan itu sebab lima teras tambahan yang dilancarkan semalam mencakupi keseluruhan kehidupan rakyat, sama ada di kampung atau bandar selain merangkumi kemahiran, pendidikan, prasarana dan juga agama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perlawanan Futsal Orang Asli dan Program Ziarah Kasih di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Anggota Parlimen Pontian berkata manifesto itu juga selari dengan manifesto BN pusat yang menyasarkan untuk memastikan keperluan setiap lapisan rakyat dipenuhi tanpa meminggirkan mana-mana golongan.

"Pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lebih praktikal dan prihatin terhadap semua golongan terutama mereka yang memerlukan," katanya.

Semalam, BN Johor menawarkan 230 tawaran dan perancangan untuk rakyat Johor melalui manifestonya yang digelar 'Johor Hi-5'.

Lima tawaran utama dalam manifesto itu adalah Pertumbuhan Ekonomi Nan Sejahtera; Penyediaan Prasarana Komprehensif; Pembangunan Minda, Bakat dan Kemahiran Bangsa Johor; Kepimpinan Berprestasi Tinggi dan Pembentukan Sebuah Masyarakat Yang Lestari, Islami dan Berbudaya.

-- BERNAMA