BN yakin kekalkan kerusi di Pulau Pinang 
BUTTERWORTH, 15 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) cukup yakin dapat mempertahankan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen di Pulau Pinang yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
BN akan turun bertarung pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini dengan mentaliti untuk menang di semua kerusi yang ditandingi, kata Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow pada sidang akhbar selepas melancarkan manifesto BN Pulau Pinang di sini hari ini.
Pada PRU13 BN melalui UMNO menang di 10 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen manakala DAP memperolehi 19 kerusi DUN dan tujuh parlimen, PKR 10 DUN, tiga parlimen dan PAS satu kerusi DUN.
Teng berkata semua calon perlu mempunyai mentaliti untuk menang dan berjuang habis-habisan bagi memastikan BN dapat memerintah kembali Pulau Pinang.
Terdahulu, Teng yang juga pengerusi Gerakan negeri meminta pengundi di Pulau Pinang membuat penilaian dan perbandingan yang terbaik dalam menentukan siapa yang akan dipilih pada PRU14.
Beliau berkata rakyat perlu memastikan kerajaan yang dipilih adalah amanah, bertanggungjawab dan berteraskan kepentingan rakyat.
Sementara itu, beliau mencabar Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa meletak jawatan dan bertanding pada PRU14 sekiranya beliau ingin bermain politik.
"Kalau nak berpolitik, letak jawatan dan bertanding jangan keluarkan kenyataan yang berunsur politik dengan menyatakan bahawa kenaikan surcaj adalah di bawah kuasa kerajaan persekutuan," katanya.
Semalam, portal Malaysiakini menyebut Jaseni sebagai berkata kuasa mengenakan dan menyemak tarif air di negeri terletak pada kerajaan persekutuan dan undang-undang persekutuan mensyaratkan syarikat air berkaitan negeri perlu mendapatkan kelululsan Putrajaya sebelum melaksanakan sebarang semakan tarif air di Pulau Pinang.
-- BERNAMA