PRS sudah bersedia sepenuhnya hadapi PRU14, kata presiden parti




KUCHING, 15 April (Bernama) -- Parti Rakyat Sarawak (PRS) sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), termasuk dari segi penyediaan senarai calon, jentera pilihan raya dan pelbagai persiapan lain, kata presidennya Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Beliau berkata nama enam calon parti itu telah diserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

"Mereka yang berpotensi menjadi calon ini telah dimaklumkan oleh parti bahawa mereka akan menjadi calon kami, bergantung pada kelulusan perdana menteri dan ketua menteri," kata Masing kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Pemerkasaan Agro Belia PRS di Damai Beach Resort dekat sini hari ini.

Masing berkata dari segi persiapan, sayap Wanita parti itu telah turun ke semua kawasan, manakala sayap Pemuda pula sedang membuat persiapan tentang tugas yang akan dilaksanakan pada hari mengundi.

"Berdasarkan kepada acara hari ini, kami boleh mengatakan bahawa sayap Pemuda sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi perjuangan. Apabila pengumuman dibuat, kami akan terus turun ke gelanggang," katanya.

Masing, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, berkata mereka sangat yakin perdana menteri akan meluluskan senarai calon parti itu seperti yang beliau lakukan pada PRU-12 dan PRU13.

"Kami juga akan meletakkan calon wanita seperti yang kami janjikan sebelum ini untuk menampilkan wanita ke dalam hierarki pentadbiran," katanya sambil menjelaskan bahawa muka baharu itu berusia sekitar 50 tahun dan terlatih sebagai peguam.

Terdahulu, Pemuda PRS melancarkan aplikasi dikenali sebagai Agro Youth, yang menurut ketuanya, Datuk Snowdan Lawan, merupakan aplikasi yang amat unik.

Beliau berkata PRS adalah parti komponen Barisan Nasional (BN) pertama di Sarawak yang memiliki aplikasi istimewa itu.

"Aplikasi ini boleh dimuat turun daripada Google Play dan boleh didaftarkan dengan memasukkan nombor keanggotaan PRS bagi mewujudkan nama pengguna dan kata laluan," katanya.

Beliau berkata aplikasi itu mengandungi profil anggota, berita politik dan program PRS serta pasar untuk anggota mempromosi dan menjual produk mereka.

Menurutnya, aplikasi itu diwujudkan bagi menghubungkan semua anggota Pemuda PRS di seluruh Sarawak melalui penggunaan platform dalam talian terkini bagi memudahkan komunikasi dua hala serta penyebaran maklumat secara berkesan melalui Internet-of-Things (IoT).

-- BERNAMA