PAS umum calon PRU14 kerusi Sarawak Sabtu ini





MIRI, 16 April (Bernama) -- PAS hari ini mengumumkan akan bertanding di lima kerusi Parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofrie Jaraie berkata parti itu akan meletakkan calon di Petra Jaya, Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar dan Sibuti.

"Pengumuman senarai calon dijangka dibuat di bandar Kuching pada Sabtu ini, 21 April," katanya kepada Bernama.

PAS dijangka bertemu Barisan Nasional (BN) dan Parti Amanah Negara daripada Pakatan Harapan di Samarahan, Batang Lupar dan Batang Sadong serta berhadapan dengan calon BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Petra Jaya dan Sibuti.

Kesemua kerusi itu adalah kubu kuat BN yang diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebelum pembubaran Parlimen ke-13. Untuk rekod, pada PRU13, PAS bertanding di lima kerusi Parlimen di Sarawak tetapi semua calonnya kalah.

Hanya pilihan raya Parlimen dijalankan di Sarawak pada PRU14 kerana pilihan raya negeri telah diadakan pada 2016.

-- BERNAMA