Persediaan jentera BN jadi keutamaan berbanding fikir calon pembangkang

Datuk Seri Razali Ibrahim (Gambar fail Bernama)
MUAR, 16 April (Bernama) -- Persediaan dan kelancaran gerak kerja jentera bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menjadi keutamaan kepada penyandang kerusi Parlimen Muar berbanding hendak memikirkan siapa calon pembangkang yang akan dipilih di kawasan itu.
Datuk Seri Razali Ibrahim berkata kecil atau besar cabaran memenangi hati pengundi bergantung kepada kesepakatan dan kesepaduan jentera Barisan Nasional (BN) Muar.
"Saya cakap pada jentera saya persiapan mesti dipastikan kelancarannya, memikirkan siapa calon BN juga lebih penting.
"Di Muar nanti (jika tidak terpilih) siapa pun yang diumumkan, saya tidak mahu dia memberikan masalah kepada jentera, kita tetap akan bekerja untuk BN, jadi pembangkang tidak relevan kepada kami," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ceramah Penjelasan Isu 1MDB anjuran UMNO Bahagian Muar di sini malam tadi.
Razali yang juga Ketua UMNO Bahagian Muar mengulas mengenai pencalonan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di Parlimen Muar pada PRU14 nanti.
Razali juga menarik perhatian bahawa beliau terbuka jika calon BN lain terpilih untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
"Saya sentiasa terbuka, dulu saya ambil tempat orang (penyandang sebelumnya), orang beri laluan kepada saya, kenapa sekarang saya perlu terasa apa-apa jika ada orang lain mahu ambil tempat (kerusi) ini, siapa pun calonnya, sokongan padu BN tetap bersamanya (calon)," tegasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis malam tadi, Razali berkata ia adalah inisiatif UMNO Bahagian Muar untuk terus memberikan maklumat benar mengenai isu 1MDB yang dimainkan pembangkang sebagai modal menjelang PRU14.
Katanya sebagai kerajaan, BN mesti berani untuk terus menerangkan isu yang mana selama ini tidak pernah diselindungkan.
"Jalan keluar ialah kita buat majlis penerangan seperti ini, kita pelawa semua orang datang kalau pun yang was-was itu hadir maka dia dapat dengar dengan lebih jelas," katanya.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda turut hadir memberi penjelasan mengenai penstrukturan 1MDB yang diadakan di Bangunan UMNO Muar itu dan dihadiri kira-kira 500 orang.
-- BERNAMA