RM100,000 untuk Latihan Pembangunan Kapasiti Wanita Gemilang 2018





PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) bersama Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperuntukkan RM100,000 bagi memperkasa golongan wanita di bawah Program Latihan Pembangunan Kapasiti Wanita Gemilang 2018.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata peruntukan itu akan diagihkan kepada seramai 200 wanita termasuk anggota Puspanita yang berkelayakan iaitu RM500 setiap seorang bagi mengikuti kursus-kursus untuk meningkatkan keupayaan mereka.

Antaranya dalam bidang keusahawanan, revolusi industri 4.0, ekonomi digital, literasi kewangan, pemasaran produk dalam talian dan kursus-kursus lain yang boleh memperkasa wanita.

"Insya-Allah, kerajaan akan terus komited untuk membina dan mewujudkan ekosistem lestari bagi memastikan peningkatan penyertaan wanita dalam industri baharu," katanya semasa berucap merasmikan Seminar Tahunan Kesihatan Puspanita di sini, hari ini.

Ali yang juga penasihat Puspanita berkata peruntukan itu juga selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 yang mengumumkan tahun 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita.

Dalam pada itu, Ali berkata bilangan pesakit buah pinggang di negara ini yang menjalani pemindahan organ itu amat rendah iaitu tidak sampai 70 kes setahun.

Menurutnya, jumlah pesakit baharu yang menjalani rawatan dialisis juga dijangka meningkat kepada 100,000 menjelang 2030 jika langkah-langkah pencegahan berkesan tidak diambil dan jumlah pendermaan organ itu tidak meningkat.

"Marilah kita menyokong usaha untuk menderma organ kerana tahap pendermaan organ di negara kita ini masih rendah. Pemindahan buah pinggang yang berjaya mampu menghasilkan kesan kesihatan yang lebih baik dan kos efektif berbanding dengan kaedah dialisis," katanya.

Seminar bertajuk 'Buah Pinggang dan Kesihatan: Memperkasakan Penglibatan, Sumbangan dan Keupayaan Kita' itu dianjurkan Puspanita dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Hospital Kuala Lumpur.

-- BERNAMA