UMNO Perak tidak terpengaruh dengan kajian Invoke - MB Perak

IPOH, 16 April (Bernama) -- UMNO Perak tidak terpengaruh dengan kajian Kaji Selidik Invoke Malaysia (INVOKE) kendalian Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mendakwa UMNO mendapat sokongan padu kaum Melayu di negeri ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengerusi Badan Perhubungannya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kajian berkenaan tidak boleh diterima pakai kerana ia dijalankan INVOKE iaitu badan yang terlibat secara langsung dengan parti pembangkang.
"Apabila ada satu kajian yang dibuat parti yang ada kepentingan, maka ia akan memberi makna tertentu."
"Adakalanya, dia mungkin nak gambarkan seolah-olah dia bagi kita seronok, geli dan (kemudian) dari situ kita akan rasa kita akan menang. Saya tidak akan mudah terperangkap melainkan kajian dibuat oleh badan bebas," katanya pada sidang media selepas menghadiri ?Executive Talk Bersama Sister Sabria' di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Semalam, Rafizi ketika berucap pada pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Harapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta menyifatkan UMNO masih mendapat sokongan padu daripada kaum Melayu di Perak.
Zambry berkata UMNO secara dasarnya mempunyai kajian tersendiri selain lebih fokus dan terarah kepada semua DUN dan Parlimen di Perak.
"Kita bukan hanya pakai kaedah 'sampling' seperti mana INVOKE, sebaliknya kita buat kajian berdasarkan konteks yang ada di setiap DUN dan Parlimen di Perak," katanya.
Selain itu, Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata jentera BN akan terus menjalankan gerak kerja bagi meningkatkan sokongan terhadap parti berkenaan pada PRU14.
"Paling penting gerak kerja berterusan perlu kita lakukan untuk memastikan keadaan di Perak khususnya dengan tahap sokongan rakyat yang diberikan pada kita, dapat dikekal dan diprtingkatkan lagi daripada semasa ke semasa," katanya.
-- BERNAMA