Rohani harap 30 peratus calon BN adalah wanita




Datuk Seri Rohani Abdul Karim (Gambar fail Bernama)

SEPANG, 16 April (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berharap 30 peratus calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah calon wanita.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata setiap pengerusi parti komponen BN juga telah dimaklumkan supaya mempertimbangkan wakil wanita untuk bertanding pada PRU14.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri telah mengambil langkah untuk memaklumkan kepada setiap pengerusi parti komponen untuk melihat pertambahan calon wanita," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Ditanya mengenai maklum balas daripada parti-parti komponen BN mengenai perkara itu, katanya kebanyakan daripada mereka memberikan reaksi positif, namun keputusan akhir hanya akan diketahui pada hari penamaan calon PRU14 nanti.

"Kali ini, saya dengar ramai (calon wanita) tetapi saya tidak dapat pastikan. Saya fikir mereka (parti komponen BN) akan melakukan yang terbaik kerana ia juga bergantung kepada kesediaan wanita itu sendiri (menjadi calon)," katanya.

Rohani berkata beliau juga telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) untuk membuat kajian mengenai jumlah calon wanita yang terpilih dan mereka yang berjaya memenangi kerusi yang ditandingi pada PRU14.

"Daripada angka pencalonan dan angka yang menang, kita akan tengok (trend) pengundi. Mungkin pengundi belum bersedia (pilih calon wanita) dan sebagainya,\ katanya.

Beliau berkata sebuah sekretariat khas juga telah dibentuk di bawah JPW untuk membuat kajian itu dan hasilnya akan dikongsi bersama bagi merancang pelan seterusnya dalam usaha memperkasakan wanita dalam arena politik.

Pada PRU13, sebanyak 168 orang atau lapan peratus daripada keseluruhan 1,900 calon yang bertanding adalah calon wanita sama ada mewakili BN, pembangkang mahupun bebas.

Daripada jumlah itu, BN menampilkan 22 calon wanita di kawasan Parlimen dan 49 di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengenai perancangan dirangka BN untuk memperkasakan wanita, Rohani berkata ia adalah kesinambungan kepada dasar dan program-program yang telah dan sedang dilaksanakan Kerajaan.

Menurutnya manifesto itu yang julung kalinya memasukkan inisiatif khusus untuk wanita yang disifatkan sebagai \'ratu hati negaraku\', jelas menunjukkan kepentingan peranan wanita di negara ini selain selari dengan Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW18).

"Kita berazam untuk memperbaiki kalau ada jurang antara jantina, kita mesti rapatkan jurang tersebut terutama dalam beberapa perkara seperti wanita dalam pekerjaan dan jurang gaji di sektor swasta," katanya.

Ditanya mengenai perbezaan manifesto BN dengan manifesto Pakatan Harapan dalam aspek memperkasa wanita, Rohani berkata kebanyakan inisiatif yang dijanjikan pakatan itu telah dilaksanakan oleh Kerajaan.

"Dia (Pakatan Harapan) baru hendak mula, tetapi kita telah jalankan," katanya.

Antara perancangan untuk wanita yang digariskan dalam manifesto bertemakan 'Bersama BN Hebatkan Negaraku' itu ialah menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan wanita di dalam Dewan Negara, menggubal Akta Gangguan Seksual, menubuhkan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) yang dipengeruskan Perdana Menteri dan sebuah Koperasi Wanita bagi kemudahan simpanan dan pinjaman kewangan.

-- BERNAMA