Pembangkang sanggup berbohong untuk pengaruhi rakyat - MB Perlis




Gambar fail

KANGAR, 16 April (Bernama) -- Pembangkang sanggup memutar belit fakta, berbohong dan memfitnah kerajaan asalkan mereka mendapat perhatian rakyat dan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata dakwaan projek-projek mega di Malaysia, termasuk pembangunan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang menelan kos lebih RM1 bilion, kononnya pelaburan negara China adalah tidak benar.

"PIP adalah sebahagian komponen projek pembangunan Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) membabitkan kerjasama syarikat Menteri Besar DiPerbadankan (MBI) dengan sebuah syarikat Bumiputera yang disenarai di Bursa Malaysia.

"Syarikat ini akan membiayai sendiri projek tersebut. Inilah sikap tidak bertanggungjawab pembangkang," kata Azlan yang mengulas penularan senarai pelaburan berpuluh bilion ringgit oleh negara China di laman-laman sosial.

Beliau ditemui selepas tamat majlis perhimpunan bulanan kakitangan awam negeri di Dewan Warisan di sini hari ini yang dihoskan Jabatan Kesihatan Perlis.

Azlan berkata pembangkang tidak akan berhenti memfitnah dan berbohong selagi mereka dapat memainkan emosi dan menimbulkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita harus matang berpolitik terutama dalam menghadapi PRU. Fakta-fakta yang betul dan benar tidak patut diputarbelitkan namun saya percaya rakyat lebih bijaksana untuk menilai dan membezakan fakta yang disogokkan kepada mereka benar atau sebaliknya," tambah beliau.

Mengenai larangan Istana terhadap parti-parti politik menggunakan masjid bagi tujuan berkempen, Azlan berkata nasihat Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail itu bertepatan dengan masa dan keadaan.

"Betul tidak boleh guna agama untuk dapatkan pengaruh politik walaupun politik itu sebahagian tuntutan agama," kata Menteri besar.

Menyentuh keputusan Pakatan Harapan (PH) mencalonkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding kerusi Parlimen Langkawi, beliau berkata perkara itu tidak mengejutkan kerana Dr Mahathir mahu bertanding untuk menjadi perdana menteri lagi.

-- BERNAMA