PRU14: Persiapan polis di Langkawi tidak terganggu - Ketua Polis Kedah
Gambar fail
LANGKAWI, 16 April (Bernama) -- Persiapan polis bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di sini tidak seharusnya terganggu walaupun kepimpinan polis di pulau ini mengalami pertukaran hari ini, kata Ketua Polis Kedah Datuk Zainal Abidin Kassim.
Beliau berkata sebaliknya, kepimpinan baharu di sini perlu pantas menyesuaikan diri untuk memahami senario untuk bertindak segera terhadap sebarang keadaan semasa pilihan raya.
"Kita perlu mengikuti perkembangan dengan pantas," kata beliau selepas menyaksikan majlis serah dan terima tugas antara Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Dr Che Ghazali Che Awang dan pengganti beliau, Supt Mohd Iqbal Ibrahim.
Zainal berkata Che Ghazali, yang akan mengambil alih tugas sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kelantan, telah meletakkan asas bagi penggantinya dengan berjaya menurunkan kadar jenayah dan memerangi penyalahgunaan dadah sejak tiga tahun lepas di pulau itu.
"Melalui pengalaman yang dimiliki oleh Mohd Iqbal, saya yakin beliau akan meneruskan usaha ini," kata beliau.
Sementara itu, Che Ghazali berkata usaha memerangi penyalahgunaan dadah di pulau itu menjadi tunmpuan utamanya semasa beliau berkhidmat di sini.
"Jika kita berjaya mengekang kes penyalahgunaan dadah, ia secara automatik dapat mengurangkan kes jenayah yang lain," kata beliau.
Beliau berkata sejumlah 2,742 individu telah ditahan dalam tempoh tiga tahun lepas atas pelbagai kesalahan dadah dan ini menyebabkan indeks jenayah menurun 37 peratus dalam tempoh tersebut.
Beliau juga menerajui usaha membangunkan sistem kod bar untuk motosikal yang berjaya meraih Anugerah Inovasi Kementerian Dalam Negeri dan sistem itu berjaya mengurangkan kes kecurian motosikal di Langkawi sebanyak 80 peratus.
-- BERNAMA