Fikir Sebelum Pangkah Kertas Undi

Pilihlah dengan bijak Foto Bernama
Oleh Fadzli Ramli
MELAKA (Bernama) -- Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang keluarga terdiri daripada penyokong tegar sebuah parti politik, sejak berusia 21 tahun, saya sering diingatkan mengenai tanggungjawab mengundi setiap kali tibanya pilihan raya.
Saya mengundi di kawasan Parlimen Ayer Hitam di Johor sehingga pilihan raya umum ke-12 (PRU12) sebelum bertukar ke kawasan Parlimen Bukit Katil di Melaka, yang kini dinamakan Hang Tuah Jaya selepas kajian semula persempadanan pilihan raya.

Pilihlah dengan bijak Foto Bernama
Selain mengundi untuk Wakil Rakyat, sejak beberapa tahun, saya juga memerhati perkhidmatan yang diberikan oleh wakil-wakil yang dipilih itu dan sejujurnya, saya mendapati kebanyakan daripada Wakil Rakyat itu amat mengecewakan.
Malah di Bukit Katil, seorang ahli politik kanan yang kalah dalam perebutan untuk kerusi itu kelihatan lebih dekat dengan rakyat berbanding Wakil Rakyat yang dipilih.
Kebanyakan Wakil Rakyat jarang sekali turun padang untuk berjumpa rakyat yang telah mengundinya, apatah lagi untuk memajukan kawasan yang menjadi tanggungjawabnya. Saya dapati mereka hanya muncul semula apabila musim pilihan raya setelah kerap menghilangkan diri untuk tempoh lima tahun.
Oleh itu, penting bagi pengundi memilih calon yang tepat untuk mewakili mereka dengan berkesan di peringkat perundangan negeri dan persekutuan serta berusaha untuk membawa pembangunan kepada kawasan masing-masing.
Oleh itu, sebelum memangkah kertas undi, pengundi perlu tahu mengenai calon mereka, sama ada beliau boleh berkhidmat untuk rakyat atau sekadar menjadi orang yang gah berteriak di Dewan Rakyat dan majlis-majlis negeri.
BUKAN SEKADAR POLITIK
Wakil Rakyat yang mempunyai rekod buruk pula telah mencipta satu lagi masalah. Disebabkan ketidakcekapan mereka, generasi muda kehilangan minat untuk mengundi mereka. Malah terdapat juga kempen #UndiRosak yang kecewa dengan parti-parti politik dan tokoh-tokoh politik di negara ini.
Bagaimanapun, pendapat saya berbeza. Proses pengundian memberi mereka peluang untuk memilih seseorang yang benar-benar mampu menyumbang khidmat kepada rakyat. Ini bukanlah soal politik semata-mata.
Dengan mengundi untuk ahli politik yang tepat, mereka boleh membuka pintu untuk peluang yang lebih besar dalam kehidupan. Sepatutnya, ada lebih banyak peluang untuk memajukan diri sendiri, kejiranan, pekan dan bandar, dan kawasan yang ketinggalan.
Dan tiap-tiap undi itu penting kerana perlu diingat bahawa seorang calon boleh menang dengan kelebihan satu undi. Oleh itu, undi anda adalah penting.
DENGAR, BACA, NILAI
Antara perkara yang paling penting bagi seseorang pengundi adalah untuk mendengar dasar dan idea yang disuarakan oleh calon dan parti mereka.
Justeru, saya berusaha sedaya mungkin untuk menghadiri ceramah pilihan raya yang dianjurkan oleh calon dan parti politik kedua-dua pihak.
Sambil menikmati kacang kuda rebus, seperti biasa, saya akan mendengar dengan teliti ceramah mereka yang merangkumi isu semasa, pelbagai janji kepada rakyat dan idea untuk memperbaiki segala macam perkara.
Namun, saya lebih suka mendengar perdebatan berbanding ceramah yang seringkalinya tidak mempunyai fakta kukuh. Debat politik memang jarang diadakan dalam senario politik kita, sedangkan kita akan dapat mengetahui kemampuan calon serta menilai jawapan calon berkenaan mengenai isu berbangkit.
Selain itu, saya mengikuti pelbagai perkembangan semasa melalui pelbagai media untuk lebih memahami isu yang diketengahkan. Bagaimanapun perlu diingat, bahawa kita hendaklah berhati-hati terhadap berita palsu yang disebar oleh kumpulan tertentu dalam usaha mempengaruhi keputusan pilihan raya kelak. Jadi, pastikan bahawa sumber berita itu sahih.
Manifesto parti politik adalah antara sumber terbaik untuk memahami pendirian sesebuah parti mengenai isu tertentu di samping dasar mereka apabila diberi mandat selepas pilihan raya.
Jadi, apakah yang kita lakukan dengan semua maklumat itu? Semestinya, kita perlu menilai pelbagai aspek termasuk, pilih calon dan parti terbaik untuk mewakili kita dalam dewan-dewan perundangan negeri dan persekutuan.
KEPUTUSAN RAKYAT
Pilihan raya memberi peluang kepada rakyat Malaysia membuat keputusan sewajarnya akan kepimpinan negara untuk lima tahun akan datang. Mandat yang diberi oleh rakyat kepada wakil yang dipilih kira-kira lima tahun yang lepas kini telah berakhir dan PRU14 memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang diinginkan.
Oleh itu pastikan anda memangkah kertas undi untuk PRU14, demi masa hadapan yang lebih baik untuk Malaysia dan rakyatnya. Fikirlah semasak-masaknya sebelum berbuat demikian.
(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis)
BERNAMA