NGO Pulau Pinang sambut baik Manifesto BN tentang alam sekitar

GEORGE TOWN, 16 April (Bernama) -- Penang Citizens Awareness Chant Group menyambut baik ikrar manifesto Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang untuk menjadikan alam sekitar sebagai isu nombor satu untuk diselesaikan jika diberi mandat mentadbir negeri ini selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Penasihat badan NGO itu, Yan Lee berkata adalah penting BN menonjolkan isu alam sekitar oleh kerana terlalu banyak masalah timbul akibat daripada usaha pembangunan yang tidak terkawal.
Katanya, pembangunan yang tidak dirancang dengan baik khususnya di lereng-lereng bukit adalah membahayakan penduduk negeri ini.
"Kami sokong ikrar manifesto BN yang menyatakan sebarang pembangunan di lereng bukit pada ketinggian melebihi 76.2 meter (250 kaki) dari aras laut akan dihentikan segera," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri sepatutnya menguatkuasakan pendirian ini tetapi terdapat sesetengah projek pembangunan lereng bukit yang telahpun diluluskan.
Yan mendakwa Bukit Relau, juga dikenai sebagai Bukit Botak, adalah contoh jelas di mana pembangunan lereng bukit dilaksanakan pada ketinggian melebihi 76.2 meter dari aras laut.
Sementara itu, anggota Penang Forum, sebuah gabungan badan-badan NGO, Rexy Prakash Chacko berkata, pihaknya gembira mendapati ada usaha untuk melindungi alam sekitar.
-- BERNAMA