Nga Kor Ming tanding kerusi Parlimen Teluk Intan





TELUK INTAN, 16 April (Bernama) -- Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming akan bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan yang disandang Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Pencalonan Nga itu diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) sempena pelancaran jentera pilihan raya Parlimen Teluk Intan oleh pakatan pembangkang itu, di sini, malam ini.

Turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu.

Nga, yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP, merupakan Ahli Parlimen Taiping selepas menewaskan pencabarnya Datuk Tan Lian Hoe daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 11,745 undi pada PRU-13.

Sebelum ini, Mah merampas kerusi Parlimen Teluk Intan daripada DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014 selepas penyandangnya, Seah Leong Peng, meninggal dunia pada 1 Mei 2014.

Dalam PRK itu, Mah mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan hanya majoriti 238 undi.

-- BERNAMA