PRU14: TNB sedia jana kuasa tambahan
BATU KURAU, 17 April (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membekalkan jana kuasa tambahan di pusat penjumlahan undi di Perak untuk memastikan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berjalan lancar.
Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Bahagian Pembahagian TNB Perak Datuk Raja Abd Jalil Raja Zaid berkata pihaknya telah berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri bagi memastikan pusat tersebut tidak menghadapi masalah bekalan elektrik.
Katanya, SPR telah menetapkan pusat penjumlahan undi yang perlu dibekalkan dengan jana kuasa tambahan untuk mengelak bekalan elektrik terputus semasa membuat penjumlahan undi.
"Selain tempat itu, tempat-tempat lain juga kita akan bekerjasama dengan majlis-majlis perbandaran dan daerah supaya ia berada dalam keadaan baik semasa pilihan raya," katanya dalam sidang media selepas majlis kesyukuran Projek Baiti Jannati di Kampung Sungai Sempoi, Ijok dekat sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah Ahmad Hasbullah Alias yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Projek tersebut membabitkan pembinaan dua buah rumah masing-masing bernilai RM50,000 untuk diberikan kepada penoreh getah Zamzami Sudin, 55, dan suri rumah Azlina Md Kassim, 37.
Sementara itu, Raja Abd Jalil berkata sejak 2008 hingga tahun lepas, TNB telah membina 60 rumah membabitkan kos RM2.28 juta dan pihaknya akan membina 14 buah rumah dengan kos berjumlah RM700,000 tahun ini.
Ditanya mengenai program pendawaian semula rumah yang berisiko terdedah dengan kebakaran, Raja Abd Jalil berkata pihaknya akan membuat pemeriksaan terutama rumah golongan asnaf yang berusia lebih 10 tahun sebelum membuat pendawaian yang memerlukan kos RM2,000 bagi setiap rumah.
Sementara itu, Ahmad Hasbullah berkata program Baiti Jannati itu membuktikan kerajaan memberi perhatian kepada rumah golongan asnaf dan miskin yang perlu dibaik pulih dan dibina semula.
"Saya bersyukur kerana TNB melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membina rumah baharu kepada mereka yang memerlukan bagi meringankan beban yang mereka hadapi," katanya.
Zamzami pula berkata beliau bersyukur apabila TNB memberikan sebuah rumah baharu bagi menggantikan rumah lamanya yang telah uzur.
"Bantuan TNB ini membolehkan saya, isteri dan empat anak hidup dalam keadaan selesa di rumah baharu. Rumah yang lama menghadapi masalah termasuk lantai reput dan atap bocor," katanya.
-- BERNAMA