Tekad selesai isu air di Selangor bukan 'omong kosong' BN





Oleh Fadzillah Aishah Ismail

SHAH ALAM, 17 April (Bernama) -- Krisis air yang tidak berkesudahan di Selangor menguatkan lagi tekad Barisan Nasional (BN), yang menerajui Kerajaan Persekutuan, untuk terus berusaha menawan kembali Selangor dan mengambil langkah proaktif menyelesaikan isu bekalan air sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Kebimbangan BN itu berasas lebih-lebih lagi dengan pendedahan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) baru-baru ini bahawa margin simpanan air yang sifar di Selangor adalah antara penyebab krisis itu berlanjutan.

Akujanji menyelesaikan segera krisis air itu merupakan agenda utama dalam Manifesto BN Selangor untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 8 April oleh Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Noh Omar.

Manifesto itu menggariskan 10 program merangkumi 100 inisiatif fokus dengan lima matlamat utama yang menawarkan Kestabilan Politik dan Pentadbiran Negeri Berprestasi Tinggi; Keselamatan, Kesejahteraan dan Kemakmuran Rakyat; Infrastruktur dan Kemudahan Asas Mesra Pengguna; Ekonomi Berkembang Maju, Mampan, Inovatif dan Berdaya Saing di peringkat Global serta Kesepaduan Rakyat Tonggak Utama Kelestarian Pembangunan Sosioekonomi Negeri, sekiranya berjaya merampas semula Selangor.

Antara inisiatif fokus BN adalah memuktamadkan segera penstrukturan semula industri air di Selangor demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Ramai menyatakan mereka tidak lagi sanggup menghadapi masalah air yang dilihat berpunca daripada sikap kerajaan negeri pimpinan PKR yang tidak serius menangani krisis berkenaan meskipun telah mentadbir Selangor hampir 10 tahun.

Ini ditambah dengan sikap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang gemar menuding jari menyalahkan Kerajaan Persekutuan berhubung krisis air di negeri itu.

Ketika melancarkan manifesto berkenaan, Noh berkata isu air di Selangor adalah amat dekat di hatinya.

Lantaran itu, beliau bertekad untuk segera memuktamadkan penstrukturan semula industri air yang selama ini prosesnya sengaja dilengah-lengahkan Mohamed Azmin.

Selain penyelesaian krisis air, BN Selangor turut memberi tumpuan terhadap penyediaan program perumahan dan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Selangor yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri ketika ini.

Antara akujanji berkenaan perumahan termasuklah pembinaan 50,000 unit rumah mampu milik, pemulihan projek perumahan terbengkalai, 10 peratus pemberian insentif pembelian rumah pertama bawah RM200,000, pembinaan 6,000 unit rumah transit belia, dan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dijadikan rumah sewa beli.

Noh berkata dasar kerajaan negeri yang tidak konsisten menyebabkan banyak projek perumahan terbengkalai di Selangor selain kegagalan membina rumah mampu milik dan kelemahan kerajaan negeri itu telah meletakkan Selangor sebagai negeri yang mempunyai projek perumahan terbengkalai tertinggi di negara ini.

Melihat secara keseluruhan manifesto bertema 'Better Selangor Yakinlah. BN Lebih Baik!', ia ternyata bersifat realistik dan memberi penekanan seimbang kepada keperluan masyarakat bandar dan luar bandar.

Noh juga optimis bahawa semua janji BN Selangor dalam manifesto berkenaan boleh dilaksanakan jika parti itu diberi mandat menubuhkan kerajaan negeri, selepas mengambil kira pandangan pakar-pakar ekonomi dan kewangan.

Mengulas akujanji BN itu, penganalisis politik Che Hamdan Che Mohd Razali berpendapat ia adalah satu refleksi kepada permasalahan semasa yang dihadapi oleh penduduk di Selangor khususnya berkaitan dengan permasalahan air dan perumahan yang dilihat tidak mampu ditangani dengan baik oleh kerajaan negeri pimpinan PKR

Pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, Pahang itu berkata janji BN Selangor untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri air dengan memuktamadkannya segera perlu diberi perhatian oleh rakyat khususnya pengundi.



"Ia amat wajar bagi menyelesaikan kemelut berlarutan, yang sehingga kini tidak dapat diatasi oleh pihak bertanggunjawab.

"Selain itu, sebagai negeri yang paling berkembang pesat dan menjadi tumpuan ramai, kemudahan dan faedah perumahan juga menjadi tumpuan utama dalam manifesto BN Selangor.

"Kesungguhan dalam mengenal pasti masalah sebenar dan peluang-peluang yang ada diterapkan dalam akujanji BN Selangor dalam pilihan raya kali ini, seperti program perumahan khas M40, dana khas membaiki rumah usang luar bandar dan perumahan belia, imam dan penjawat awam perlu diraikan oleh semua pihak bagi menjamin kesejahteraan rakyat," katanya kepada Bernama.

Selangor merekodkan jumlah pemilih berdaftar paling tinggi iaitu seramai 2,415,074 orang layak mengundi pada pilihan raya umum pada 9 Mei ini.

Che Hamdan berpendapat sebagai akujanji, manifesto itu menampakkan kesungguhan BN Selangor untuk menebus kelemahan pemerintahan sebelum ini dan membawa harapan agar ia dapat dinilai oleh pengundi bagi memberi peluang kehidupan lebih makmur di negeri, yang mempunyai hasil melimpah ruah.

"Manifesto (BN) ini telah memperincikan keperluan semasa rakyat negeri itu yang sudah dua penggal berada di bawah kerajaan pimpinan PKR. Ia perlu diagihkan kepada rakyat dengan bijaksana agar menepati matlamat ke arah kesepaduan rakyat dalam membentuk kelestarian pembangunan sosioekonomi Selangor," katanya.

-- BERNAMA