PRU tidak memberi ancaman kepada ekonomi - Maybank IB
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama)-- Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal menjelang, dijangka tidak mencetuskan kejutan besar ke atas ekonomi Malaysia, sebaliknya ia diterjemahkan sebagai kesinambungan dasar semasa dan aliran masuk pelaburan seperti biasa.
Ketua Penyelidik Ekonomi Serantau Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) Suhaimi Ilias berkata dalam senario asas bank itu, parti pemerintah dijangka mengekalkan kuasa dan memastikan kesinambungan dasar, khususnya dalam hubungan Malaysia-China.
"Jika anda melihat landskap pelaburan China di Malaysia, ia sangat pelbagai. Ramai yang cenderung untuk membuat persepsi sendiri bahawa pelaburan China di Malaysia tertumpu kepada infrastruktur dan hartanah. Sebenarnya ini (persepsi ini salah.
"Pelaburannya pelbagai, Kita ada FDI (pelaburan langsung asing) China dalam perbankan dan kewangan, pendidikan, pembuatan dan yang terbaharu pengambilalihan kepentingan oleh Geely (Zhejiang Geely Holdings Group) dalam Proton," katanya ketika ditemui pada Invest ASEAN Singapura 2018, anjuran Maybank baru-baru ini.
Pada Jun tahun lepas, DRB-Hicom Bhd dan Geely menandatangani perjanjian akhir yang menyaksikan Geerly mengambil alih 49.9 peratus kepentingan dalam Proton dan 51 peratus dalam Lotus, jenama kereta sukan mewah, dalam perjanjian bernilai RM1 bilion.
Pengarah Maybank IB dan Ketua Penyelidik Pasaran Ekuiti Malaysia, Wong Chew Hann berkata limpahan daripada urus niaga Geely-Proton sangat besar memandangkan syarikat itu menggunakan Malaysia untuk menembusi pasaran ASEAN.
"Pada dasarnya, eksport dari Malaysia ke negara lain di ASEAN tidak dikenakan tarif dalam pasaran tunggal. Kami berpendapat inilah punca utama mengapa Geely datang ke Malaysia, selain infrastruktur dan sokongan yang diberikan oleh Proton dan kerajaan," katanya.
Secara keseluruhannya, Suhaimi berkata penguasaan China dalam jumlah saham FDI di Malaysia kecil iaitu 2.6 peratus walaupun pertumbuhan pelaburannya yang kukuh pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata bagi ekonomi sebesar saiz dan kedudukan China, penguasaan FDI di Malaysia sangat kecil berbanding Kesatuan Eropah (EU) (29.9 peratus), Singapura (20.5 peratus), Jepun (12.7 peratus) dan AS (5.9 peratus ).
"Kami melihat masih ada peningkatan dan ruang untuk pertumbuhan dari segi pelaburan China di negara ini," katanya.
Selain tanggapan asas mengenai keputusan pilihan raya umum yang akan meneruskan kesinambungan dasar Malaysia-China, Suhaimi berkata satu lagi faktor utama ialah hasil mesyuarat Kongres Rakyat Kebangsaan China baru-baru ini.
"Berdasarkan acara dan pengumuman yang dibuat, jelas ia membabitkan kesinambungan, penyelarasan dan pelaksanaan dasar di China, terutama yang berkaitan dengan dasar dan keutamaan Xi Jinping, termasuk Inisiatif Jalur & Jalan," katanya.
-- BERNAMA