PRU14: Saingan sengit Salang-SNG di Julau?




Oleh Edward Subeng Stephen

JULAU, 17 April (Bernama) -- Saingan sengit bakal tercetus di kawasan Parlimen Julau apabila seorang pencabar muda Cina jauh dari pedalaman Kapit sedia untuk menawan semula kerusi majoriti Iban yang dikosongkan bapanya dalam pilihan raya umum 1999.

Jika petunjuk di lapangan boleh dianggap benar, Julau akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dengan seorang pencabar yang memilih untuk bertanding atas tiket Bebas selepas hasratnya untuk menjadi calon BN tidak kesampaian.

Penyandang empat penggal dan Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang, 68, yang namanya dicadangkan oleh parti untuk mempertahankan kerusi itu, bakal bertarung dengan Larry Sng Wei Shien, 39, bekas ADUN PRS bagi Pelagus (Kapit) yang juga bekas Menteri Muda Belia (Latihan), dalam kabinet pentadbiran Ketua Menteri ketika itu, Pehin Sri (kini Tun) Abdul Taib Mahmud.

Larry dipecat daripada PRS, parti yang penubuhannya turut dibantu bapa Larry, Datuk Sng Chee Hua, pada 2007 ekoran ingkar arahan sebelum menubuhkan partinya sendiri, Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk bertanding menentang calon PRS bagi kerusi Lubok Antu (Sri Aman) dalam pilihan raya negeri lepas namun kecundang. Dia kemudian meninggalkan parti itu.

Chee Hua merupakan anggota Parlimen Julau selama satu penggal dari 1995 hingga 1999 sebelum Putrajaya meminta beliau memberi laluan kepada Salang.

Semangat Larry mungkin berkobar-kobar untuk memenuhi hasratnya itu bagaimanapun semestinya begitu banyak halangan yang perlu ditempuhinya.

"Apa yang dia cuba lakukan adalah menyingkirkan Salang. Memang tugas itu sangat sukar baginya oleh kerana, yang pertama, dia orang luar - suatu isu malah Salang sendiri, yang nenek moyangnya berasal dari Bayong di Ulu Sarikei dan merupakan sebahagian daripada kawasan pilihan raya ini, perlu bergelut, setiap kali tiba pilihan raya," kata Timbalan Pengerusi PRS cawangan Meluan, Minggang Jungai, yang juga tuai rumah panjang.

"Kedua, dia bertanding sebagai calon Bebas dan seorang Cina di kawasan majoriti Iban yang menjadi kubu kuat BN sejak sekian lama. Salang kini sebuah nama besar selaku setiausaha agung PRS, pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak dan presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak," katanya.

Satu lagi perkara yang perlu Larry tangani adalah janji yang dibuat bapanya semasa menjadi anggota parlimen tetapi masih belum ditunaikan.

Menurut seorang lagi tuai rumah panjang, Micheal Jantan dari Nanga Baketan, Sng yang lebih senior itu paling diingati kerana kenyataan menghina beliau tentang betapa mudahnya untuk meraih undi Iban.

"Hati kami masih terguris dek kenyataan melulunya itu. Mungkin kami harus membalas balik kepada anaknya dan tunjukkan kepada beliau betapa mahalnya harga undi kami," katanya kepada Bernama di sini.

Julau mempunyai 24,936 pengundi berdaftar dan terdiri daripada kerusi DUN Meluan dan Pakan, masing-masing dimenangi calon BN. Saiznya lebih kurang Melaka dan Perlis yang dicantumkan.

Seperti kebanyakan kawasan pilihan raya di luar bandar Sarawak, penduduk yang tinggal jauh di pedalaman masih bergantung kepada pengangkutan sungai. Bagaimanapun, pada hujung minggu, kekurangan ruang meletak kenderaan di pekan Julau dan Pakan amat memeningkan kepala apabila penduduk yang menikmati akses jalan raya menjadikan kedua-dua pekan itu penuh sesak dengan kenderaan Toyota Hilux dan Proton mereka.

Perladangan lada hitam, kelapa sawit dan sayur-sayuran menjadi sumber pendapatan utama penduduk setempat. Salang, seorang jurubank sebelum menyertai politik, diberi pujian meluas apabila menjadi inspirasi kepada penduduk setempat dengan beliau sendiri merupakan individu pemilik ladang lada hitam terbesar di seluruh Bahagian Sarikei, kawasan pengeluar lada hitam terkemuka di Sarawak.

Julau akan menjadi sebuah daripada kawasan pilihan raya yang menarik untuk diperhatikan. Bolehkah Larry, tanpa sokongan Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang sangat berpengaruh, Parti Progresif Demokratik dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak memenangi kerusi itu yang pernah disandang bapanya?

"Anak beranak Sng ini sejak dahulu lagi diketahui mengeluarkan banyak belanja dalam kempen pilihan raya mereka. Larry dikatakan mendapat sokongan ahli politik tertentu dan kumpulannya bermusuhan terhadap Salang dan para penyokongnya," kata tuai rumah panjang Jantan Uchong, yang juga timbalan pengerusi PRS Pakan.

"Pekerja mereka memikat pengundi dengan pelbagai tawaran. Jentera kempen Larry sudah mengumumkan mereka akan berusaha habis-habisan untuk menang. Kami memantau mereka dengan rapi," katanya.

Sebenarnya, apabila Salang menganjurkan makan malam bagi tuai rumah panjang yang menghadiri seminar kepimpinan di Sarikei pada hujung minggu, kumpulan Larry pula mengadakan majlis makan malam di sebuah hotel berasingan dengan beliau sendiri menjadi tetamu kehormat. Satu lagi makan malam barbeku diadakan serentak di Pakan. Kedua-duanya bertujuan meminimumkan kehadiran dalam majlis dihadiri Salang.

Bagaimanapun, kesemua 61 buah meja dalam majlis anjuran Salang di sebuah restoran dua tingkat dipenuhi penyokongnya. Kebanyakan pengikut setia Salang dalam kalangan 530 tuai rumah panjang siap sedia untuk mempertahankan "Manok Sabong" (ayam sabung) mereka.

Menurut Micheal Jantan, tidak syak lagi Salang akan mengekalkan kerusi berkenaan, namun katanya, Salang seorang yang agak mementingkan kesempurnaan dan sudah tentu mahu menang dengan majoriti besar.

Dalam pilihan raya umum lepas, beliau ditentang Wong Judat (SWP) dan Andy Wong ( PKR), Salang menang dengan majoriti 5,955 daripada sejumlah 16,677 pengundi yang keluar mengundi.

-- BERNAMA