Tukar kerusi tanda rakyat tidak terima pembangkang - Saarani




IPOH, 17 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perak menyifatkan tindakan pemimpin pembangkang bertukar-tukar kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) disebabkan tidak mendapat sokongan padu selain gagal memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata ia menunjukkan pemimpin terbabit tidak serius menjalankan tugas yang diamanahkan selaku wakil rakyat selain hanya menggunakan jawatan itu untuk kepentingan peribadi.

"Mereka sedar rakyat tidak terima mereka, kalau bertanding di tempat sama, orang akan ejek mereka. Keadaan itu menyebabkan mereka ambil keputusan beralih tempat bertanding."

"Rakyat juga pada masa yang sama tahu calon-calon pembangkang ini bukan wakil rakyat sebenarnya, mereka hanya nak jadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bercakap berdegar-degar dalam dewan negeri tapi tidak beri perkhidmatan kepada rakyat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai segelintir pimpinan pembangkang bertukar-tukar kerusi Parlimen dan DUN yang bakal ditandingi mereka pada PRU14.

Saarani berkata BN tidak akan sesekali mengkhianati kepercayaan rakyat yang memberi sokongan, tidak kira sama ada kawasan tersebut dimenangi parti berkenaan atau sebaliknya.

"Sebagai contoh, walaupun Changkat Jering dimenangi pembangkang, apabila berlaku banjir di kawasan itu, kita turun bersama jentera parti untuk membantu mangsa. Wakil rakyat pembangkang yang menang di situ, langsung tak nampak muka," katanya.

Beliau berkata BN Perak juga berjanji akan meletakkan calon yang berwibawa pada PRU14, sekali gus mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, Saarani yang juga penyandang kerusi DUN Kota Tampan berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi BN di peringkat negeri dan pusat untuk menentukan nasibnya sama ada akan dicalonkan atau sebaliknya.

Beliau berkata kemenangan BN merupakan perkara yang perlu diutamakan berbanding pemilihan calon di sesuatu kawasan.

"Saya anggota parti jadi saya sentiasa patuh kepada keputusan pucuk pimpinan. Jika pucuk pimpinan kata perlu direhatkan, saya terima. Jika pucuk pimpinan terus beri kepercayaan kepada saya...saya akan teruskan, yang penting kemenangan BN terus kekal selepas PRU14," katanya.

-- BERNAMA