Pelbagai projek berpaksikan rakyat dilaksanakan di Labuan
LABUAN, 17 April (Bernama) -- Landskap Labuan dijangka berubah wajah dan berkembang maju dengan pelaksanaan dan siapnya beberapa projek pembangunan, kata Datuk Rozman Isli.
Antara projek itu adalah pembinaan jalan pesisir pantai dengan kos RM174 juta bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menambah baik kesalinghubungan pulau ini, menggantikan paip air lama dan pembinan jalan berkembar dari Kampung Lajau ke Kampung Lubok Temiang.
Rozman, yang dipilih sebagai Anggota Parlimen pulau ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13, berkata kerajaan juga meluluskan pembinaan padang bola sepak menggunakan rumput tiruan selain menaik taraf Labuan Nucleus Hospital, klinik kesihatan serta kuarters petugas dan pakar.
"Sebahagian daripada projek berpaksikan rakyat ini sedang dilaksanakan manakala selebihnya akan dilaksanakan tahun ini," katanya pada Program Santai Abang Man di Ramsay di sini, hari ini.
Rozman, yang juga pengerusi Perbadanan Labuan, berkata pulau ini mendapat peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan sejak ia diberi status Wilayah Persekutuan.
-- BERNAMA