BN Labuan berusaha tingkatkan jumlah undi di 17 tempat mengundi

LABUAN, 17 April (Bernama) -- Jentera Barisan Nasional (BN) Labuan akan bekerja keras bagi memastikan gabungan parti itu menerima jumlah undi jauh lebih besar berbanding pembangkang di kesemua 17 tempat mengundi di pulau bebas cukai ini.
Ketua tempat mengundi Ramsay, Arman Raymond Annuar Tan, berkata kerjasama rapat dan perpaduan antara parti komponen BN akan banyak membantu calon BN memperoleh jumlah undi yang besar.
Ramsay adalah antara empat tempat mengundi di mana BN tewas pada pilihan raya sebelum ini.
Tiga tempat mengundi lain ialah Victoria Utara, Sungai Keling dan Kerupang.
"Demi kelancaran pelaksanaan pelan pembangunan di pulau ini, kami akan bekerja keras bagi memastikan BN menang di semua tempat mengundi," katanya kepada pemberita selepas program 'Abang Man Santai' di Ramsay di sini, hari ini.
-- BERNAMA