Penderitaan Shafarina dapat perhatian MCA

SEREMBAN, 17 April (Bernama) -- Kisah penderitaan Shafarina Mohd Nasir yang terpaksa mengutip kotak dan barangan terpakai di sekitar Ampangan, demi untuk membeli susu anaknya Nur Ain Kaisara Abdul Fatah, 2, mendapat perhatian ramai pihak selepas disiarkan di akhbar baru-baru ini.
Kepayahan ibu tunggal itu yang sering berjalan kaki daripada kediaman ibu angkatnya di Taman Cengal dekat sini, sejauh 10 kilometer setiap hari demi mengalas perut anaknya itu turut mendapat perhatian Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon yang tampil menghulurkan bantuan.
Chong berkata pihaknya hari ini tampil membantu menyumbangkan sebuah basikal untuk kegunaan harian Shafarina selain wang tunai serta bantuan makanan.
"Kita juga akan membantu membuka akaun bank beliau supaya gaji boleh dimasukkan dalam akaun serta akan berusaha membantu beliau mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Shafarina di sini, hari ini.
Shafarina, 31, yang sebelum ini tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap selepas bercerai dengan suaminya, kini ditawarkan pelbagai pekerjaan oleh beberapa pihak selepas kisah hidupnya juga tular dalam media sosial.
"Kini saya ditawarkan bekerja menjual nasi lemak di Ampangan dengan upah RM30 sehari selain disediakan rumah oleh majikan," katanya.
Menceritakan kesusahan hidupnya, Shafarina berkata setiap hari beliau akan berjalan kaki sambil menolak 'stroller' (kereta sorong bayi) bersama Nur Ain Kaisara, untuk mencari barangan yang akan dijual kepada peraih barangan terpakai.
"Barangan itu akan dikumpul terlebih dahulu selama tiga hari sebelum menjualnya kepada lori yang mengutip barangan terpakai, yang membelinya dengan harga RM10.
"Kadang-kadang saya tidak cukup duit untuk membeli susu anak dan terpaksa membancuh susu menggunakan susu tin (susu pekat manis)," katanya yang turut mendapat bantuan RM70 daripada Baitulmal, tiga bulan sekali.
-- BERNAMA