Manifesto BN Johor dirangka ikut keperluan rakyat - Mohamed Khaled

MERSING, 18 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) Johor dibuat berdasarkan keperluan rakyat negeri ini termasuk memastikan kesejahteraan mereka, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata Manifesto BN Johor juga dirangka bagi memastikan negeri ini muncul sebagai kuasa ekonomi baharu negara selain menjadikan ia negri yang mampu bersaing dengan negara lain termasuk Singapura.
Justeru itu, beliau menafikan dakwaan pembangkang yang BN Johor meniru manifesto kerajaan negeri Selangor.
"Atas sebab itu, kita anggap (manifesto) macam harimau kejar singa. Jadi, itu tiru Selangor ke. " katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Pembangunan Daerah Mersing di Jeti Pantai Penyabong di sini, hari ini.
Mohamed Khaled yang juga merupakan Pengerusi BN Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang mengenai Manifesto BN Johor yang dilancarkan minggu lepas.
Semalam, Pakatan Harapan mendakwa beberapa intipati dalam Manifesto BN Johor seakan inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan Selangor.
Mohamed Khaled turut memberi bayangan bahawa penyandang kerusi Parlimen Mersing Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mungkin dicalonkan untuk bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Namun, katanya, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat oleh Najib selaku Pengerusi BN.
-- BERNAMA