Pilih calon yang dapat bela masa depan negara - Mufti Perlis
File Bernama
KANGAR, 18 April (Bernama) -- Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan masyarakat khususnya umat Islam agar memilih calon yang boleh membela masa depan mereka dan negara pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Menurutnya ciri-ciri pemimpin yang baik ialah ikhlas bekerja serta mengutamakan kebajikan rakyat.
"Jangan sekali-kali pilih pemimpin yang zalim," kata beliau menjawab pertanyaan seorang jemaah mengenai panduan memilih calon atau parti pada PRU14 dalam ceramah mingguannya di Masjid Alwi di sini malam tadi.
Mohd Asri berkata pilihan raya diadakan bagi memberi peluang kepada rakyat memilih pemimpin dan parti terbaik untuk mentadbir negara .
Beliau turut menasihatkan mereka supaya tidak melepaskan peluang untuk mengundi walaupun tidak mengundi bukanlah kesalahan di sisi agama, namun mereka harus tidak terpengaruh dakwaan mengenai jaminan akan masuk syurga jika mengundi calon atau parti tertentu.
"Saya memohon pada pemimpin-pemimpin parti politik tertentu supaya tidak memperalatkan agama bagi kepentingan politik mereka kerana jaminan masuk syurga hanya ditentukan oleh Allah SWT," kata Mohd Asri.
-- BERNAMA