Puteri UMNO Labuan tumpu kepada pengundi muda




LABUAN, 18 April (Bernama) -- Puteri UMNO Labuan memberi fokus terhadap pengundi muda bagi memastikan mereka terus berdiri teguh di belakang calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketuanya, Nur Erney Jamil berkata program turun padang merupakan antara pendekatan berkesan untuk mendampingi golongan itu dan membantu mereka supaya lebih memahami dasar kerajaan BN serta rekod kejayaan parti itu dalam memajukan negara.

"Saya pasti jumlah pengundi muda yang begitu besar juga akan membantu dalam memastikan calon BN mencapai kemenangan pada pilihan raya umum nanti," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Erney, sayap UMNO itu akan terus menganjurkan acara berorientasikan rakyat bagi memastikan mereka berpeluang bercakap secara langsung dan menjalin hubungan rapat dengan golongan itu.

"Kami telah bertindak secara proaktif dalam mendekati pengundi muda dan dengan bertambahnya jumlah anggota Puteri yang kini mencapai lebih 700 orang berbanding hanya 500 tahun lepas, ia akan membantu jentera Barisan Nasional mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14," katanya.

Beliau berkata pergerakan itu akan berusaha habis-habisan untuk membantu calon BN sepanjang tempoh berkempen selama 11 hari.

"Kami juga akan membantu menangkis dakwaan tidak berasas, berita palsu dan propaganda tentang BN, yang kami jangka akan disebar dengan meluas oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk pembangkang bagi memperdaya orang ramai, terutama pengundi muda," kata Erney.

-- BERNAMA