MIC tidak tolak kemungkinan pertukaran kerusi dengan parti komponen BN - Subramaniam
KLANG, 18 April (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam tidak menolak kemungkinan mengenai pertukaran kerusi antara parti itu dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sebagai strategi bagi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dr Subramaniam juga mengumumkan enam daripada sembilan kerusi parlimen yang akan ditandingi oleh MIC
Sungai Siput (Perak), Tapah (Perak), Segamat (Johor), Kapar (Selangor), Kota Raja (Selangor) dan Cameron Highlands (Pahang).
Beliau yang juga Menteri Kesihatan yakin bahawa parti itu dapat mempertahankan kerusi parlimen Cameron Highland walaupun Parti Progresif Penduduk (MyPPP) menunjukkan minat untuk bertanding di kerusi tersebut.
"Kita akan bertanding sembuilan kerusi parlimen dan 18 kerusi dewan undangan negeri pada PRU14, " kata beliau kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Taman Sentosa di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendiidikan Tinggi Datuk P. Kamalanathan dan Ketua Bahagian MIC Kota Raja Datuk R.S Maniam.
Ketika diminta memberi butiran mengenai kerusi lain yang melibatkan pertukaran dengan parti komponen, Dr Subramaniam meminta media menunggu pengumuman rasmi daripada Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN mengenai perkara itu.
Beliau berkata adalah penting bagi semua pemimpin parti komponen BN untuk mematuhi keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi BN mengenai pengagihan kerusi.
"Sebagai contoh, jika UMNO memutuskan untuk bertanding di mana-mana kerusi MIC, kami akan memberi laluan kepada mereka dan ini adalah perkara biasa dalam BN. Matlamat kita ialah untuk memenangi pilihan raya umum," kata beliau.
-- BERNAMA