Kehadiran PH hanya sebagai pengacau di Marang
MARANG, 18 April (Bernama) -- Kehadiran Pakatan Harapan (PH) yang dijangka mencabar kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marang diramal tidak mampu menyaingi dominasi PAS dan dianggap 'pengacau' dalam pertembungan dengan musuh tradisinya Barisan Nasional (BN).
Tinjauan yang dilakukan Bernama sempena pilihan raya umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini mendapati rata-rata pengundi di Parlimen Marang juga menyatakan mereka hanya akan memilih antara PAS ataupun BN biarpun PH, melalui Parti Amanah Negara (Amanah), yang merupakan serpihan PAS, bakal bertanding.
Meskipun dikatakan membawa ideologi yang baharu untuk pembangunan di kawasan Marang, Amanah dilihat masih gagal untuk menarik pengundi di sini termasuk golongan muda, untuk memilih mereka pada PRU kali ini.
Musa Ramli, 35, yang merupakan peniaga kedai runcit di sini berkata antara PAS dan PH beliau akan tetap memilih parti PAS kerana kekuatan dan ideologi yang dibawa oleh penyandang kerusi Parlimennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, telah terbukti, berbanding dengan janji-janji yang ditabur oleh PH.
"Buat masa ini, saya masih akan memilih PAS (pada PRU14). Mereka nampak lebih bertanggungjawab berbanding Amanah, yang tidak pernah lihat pun mereka datang jenguk orang-orang dekat sini.
"Aktiviti yang PAS jalankan di sini seperti ceramah mingguan, program bertemu dengan penduduk di sini selama ini, bukan semasa musim PRU sahaja, membuktikan yang mereka ini adalah pemimpin yang bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, Zulkifli Ismail, 60, berkata kehadiran PH di kawasan Marang pada PRU kali ini mungkin akan sedikit mengurangkan majoriti undi PAS.
Bagaimanapun, menurut pesara kerajaan ini, ia tidak akan menjejaskan kedudukan PAS untuk terus mengekalkan dominasinya di kerusi Parlimen Marang yang telah dimenangi pada PRU yang lalu.
Osman Zakaria, 66, pula berpendapat, kehadiran PH pada PRU kali ini dianggap sebagai ?pengacau undi' dalam pertembungan antara PAS dan BN.
"(Parlimen) Marang ni majoritinya adalah orang-orang tua seperti saya, dan kami sudah sebati dengan PAS kerana ideologi yang dibawa sesuai dengan jiwa kami. Amanah walaupun orang kata parti yang memperjuangkan golongan muda, tidak semua orang muda di sini yang menyokong mereka," katanya.
Marang sinonim dengan Abdul Hadi, meskipun pemimpin utama PAS itu pernah tumbang di sini beberapa kali.
Disebabkan Presiden PAS sendiri yang bertanding di sini, Marang yang merupakan antara kubu kuat PAS menjadi satu daripada kawasan paling panas dan menjadi fokus setiap kali pilihan raya.
Abdul Hadi mula bertanding di sini pada pilihan raya umum 1978 di kerusi Marang tetapi kalah dengan hanya perbezaan 64 undi kepada calon BN, Tengku Zahid Tengku Musa sebelum merampas kerusi tersebut pada pilihan raya berikutnya, menyaksikan Abdul Hadi menang dengan 320 undi, dan sekali lagi pada 1986, dan sehingga sekarang mengekalkan kerusi DUN itu.
Di peringkat kerusi Parlimen Marang pula, Abdul Hadi kalah pada 2004 yang menyaksikan undi Melayu kembali kepada UMNO dan BN, seolah-olah mengalu-alukan perdana menteri baharu ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Bagaimanapun Abdul Hadi kembali merampas kerusi Parlimen Marang pada 2008 dan pada PRU13, beliau sekali lagi mengalahkan calon BN dengan kelebihan 5,124 undi.
PAS turut memenangi tiga daripada empat kerusi negeri di sini, iaitu, Rhu Redang, Alur Limbat dan Bukit Payung, sementara Pengkalan Berangan dikuasai BN.
-- BERNAMA