Tok Mun akui BN sukar dikalahkan, jaga kebajikan rakyat




KUALA TERENGGANU, 18 April (Bernama) -- Bekas calon Bebas pilihan raya umum ke-12 (PRU12) dan PRU13 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Maimun Yusof atau lebih dikenali sebagai Tok Mun, 99, mengakui Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti gabungan yang kuat dan sukar dikalahkan.

"Dacing (logo BN) ni memang kuat sungguh. Memang susoh (sukar) nak kalahkan dacing. PAS pun dok (tidak) kuat macam Barisan," itu pengakuan Tok Mun kerana menurutnya kerajaan BN sentiasa melaksanakan pelbagai program bagi menjaga kebajikan rakyat.

"Dacing banyak bagi bantuan kepada orang kampung...sebab tu ramai orang sokong dia (BN)," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Atas Tol di sini.

Meskipun beliau terang-terangan tidak menyokong parti tersebut, Tok Mun berkata beliau turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan dan menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disalurkan kerajaan BN.

"Bulan-bulan (setiap bulan) Tok dapat RM200. Tahun lepas Tok boleh (dapat) BR1M, tahun ni Tok dok tahu boleh ke dok sebab tak 'check' (semak) lagi," katanya yang tinggal berseorangan.

Sejarah penglibatan Tok Mun sebagai calon Bebas pada PRU12 dan 13 pernah menggemparkan seluruh negara malah mendapat liputan media antarabangsa apabila berjaya 'memecah undi' tokoh PAS pada PRU12, iaitu Mohamad Sabu.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, selain Maimun dan Mohamad, calon BN iaitu Datuk Razali Ismail menang tipis dengan majoriti 628 undi.

Maimun yang hilang wang pertaruhan memperoleh 685 undi manakala Razali menang dengan 32,562 undi sementara Mohamad meraih 31,934 undi.

Pada PRU13 pula, Maimun yang mencabar calon BN Datuk Mohd Zubir Embong dan calon PAS, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad di Parlimen yang sama, sekali lagi hilang wang pertaruhan apabila hanya meraih 182 undi. Kerusi itu dimenangi Raja Kamarul Bahrin yang kini memimpin Parti Amanah Negara di negeri ini.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding lagi pada PRU kali ini, warga emas yang masih bertenaga namun mengalami masalah pendengaran dan penglihatan itu berkata beliau mungkin tidak dapat turut serta menjadi calon kali ini berikutan kekangan kewangan.

"Tok rasa rasa dok leh (tidak boleh) tanding dah kali ni. Bukan tak mboh (tak nak) tanding, tapi Tok tak dok pitih (wang). Kalu (Kalau) nak tanding, kurang-kurang (sekurang-kurangnya) nak kena ada RM30,000...nak bayar deposit, tepek (tampal) poster, nak pakai duit belaka (semua)."

"Ramai jugak orang suruh Tok tanding, tapi kali ni memang tak dok pitih...kalau ada orang sudi bayar, Tok tanding la, tapi Tok tak mboh guna dah simbol dulu (kunci), Tok nak guna simbol istana pulak sebab kalau guna simbol lain, memang Tok kalah...orang lama-lama suruh Tok guna simbol bulan bintang, tapi dulu SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tak bagi," katanya.

Tok Mun yang dahulunya berkempen dengan berbasikal kini memiliki sebuah kereta Kancil namun hanya menggunakan kereta itu dengan bantuan anak saudaranya sebagai pemandu.

"Tok tak pandai nak bawak (memandu) kereta, lesen pun tak dok. Kalau nak gi (pergi) mana-mana Tok mintak tolong anak saudara, tok beri pitih ke dia sikit."

"Lening (sekarang) memang jarang la Tok gi mana-mana, nak gohek (kayuh) basikal, dok rok (tak larat) dah. Tok bukan muda lagi, takut jatuh kalau naik basikal," katanya yang masih aktif menjaja kain batik dan kain pasang dari rumah ke rumah bagi menampung perbelanjaan seharian.

Ditanya petua dan rahsianya yang kekal cergas, Tok Mun berkata beliau tidak mengamalkan apa-apa petua, tetapi sangat mementingkan penjagaan pemakanan sejak usia muda.

"Tok dok makan benda mengarut, kalau masak sayur, Tok akan rebus dahulu...memang Tok jaga makan je, bukan macam orang muda sekarang-semua benda makan," katanya.

-- BERNAMA