Tiga wanita ditahan disyaki potong bendera parti politik di TTDI
KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Tiga wanita ditahan polis hari ini kerana disyaki telah memotong dan mencabut bendera serta kain rentang Barisan Nasional (BN) di tepi Jalan Leong Yew Koh di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dekat sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyatan di sini, hari ini berkata mereka bertindak demikian atas alasan pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal menurunkan bendera itu yang dipasang sebelum hari penamaan calon.
Pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Zon TTDI menahan ketiga-tiga mereka untuk membantu siasatan ketika membawa bendera itu untuk diserahkan ke Balai Polis TDDI dan 133 kain rentang BN pelbagai saiz yang ditemukan dalam dua beg plastik dalam kereta dinaiki mereka juga dirampas.
"Polis turut merampas gunting, playar, pemotong wayar, sebotol ubat nyamuk, lampu suluh dan plastik sampah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ketiga-tiga wanita berkenaan merupakan penduduk kawasan TTDI dan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik, katanya.
"Mereka bertindak atas dasar prihatin sebagai penduduk di kawasan berkenaan dan mendakwa aduan yang dibuat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan pemasangan bendera parti sebelum 28 April tidak diambil sebarang tindakan."
Beliau berkata dua daripada suspek masing-masing berusia 31 tahun manakala seorang lagi berusia 37 tahun.
"Perbuatan yang dilakukan adalah atas sikap sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak," katanya.
Mazlan berkata kes masih disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.
Beliau juga meminta orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri dalam perkara sedemikian.
-- BERNAMA