Perketatkan kawalan sempadan cegah kemasukan pengundi dua kerakyatan
MACHANG, 18 April (Bernama) -- Pihak berkuasa perlu memperketatkan kawalan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand untuk mencegah kemungkinan mereka yang mempunyai dua kerakyatan mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Beliau berkata kebanyakan mereka yang menetap di negara jiran mempunyai pertalian keluarga dengan penduduk di negeri ini dan sentiasa berulang-alik sebagai pekerja di ladang atau sektor lain.
"Mereka kemungkinan masuk ke negeri ini menerusi 'lorong tikus' yang terdapat di sepanjang sempadan dari Tumpat hingga Jeli," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Majlis Profesor Negara Bersama Penjawat Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan di sini, hari ini.
Tanpa memberikan jumlah sebenar individu dua kerakyatan itu, Ahmad Jazlan bimbang kehadiran mereka akan mewujudkan suasana yang tidak harmoni di kalangan pengundi tempatan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei hari pengundian PRU14.
-- BERNAMA