MIC garis empat tonggak utama dalam Manifesto PRU14





KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- MIC hari ini melancarkan manifesto khas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang mengandungi 22 tawaran bagi mengarus perdana dan meningkatkan tahap sosioekonomi secara khusus dan tersusun bagi masyarakat India di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata manifesto itu mengandungi empat tonggak utama iaitu memenuhi keperluan asas, merealisasikan potensi setiap kanak-kanak, meningkatkan pendapatan dan kekayaan serta peningkatan penyertaan sosial.

"Ini adalah ilthizam lima hingga 10 tahun untuk meningkatkan taraf sosioekonomi selaras dengan jaminan keberkesanan pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB)," katanya berucap melancarkan Manifesto MIC berkenaan di sini.

Di bawah tonggak memenuhi keperluan asas, MIC berikar untuk meningkatkan penyertaan dalam Program MyDeposit serta meningkatkan pemilikan rumah serta mewujudkan Skim Pinjaman Khas untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Dr Subramaniam berkata MIC juga berikrar menjamin transformasi holistik dan melaksanakan pemulihan keluarga bagi keluarga bermasalah khususnya di kawasan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Bagi tonggak kedua iaitu merealisasikan potensi setiap kanak-kanak, beliau berkata MIC berikrar menyediakan pendidikan prasekolah secara percuma dalam tempoh lima tahun.

"Saya mahu meningkatkan penyertaan belia berisiko tinggi dan golongan tercicir sekolah dalam program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Dalam tonggak ketiga pula, Dr Subramaniam berikrar mahu memperkenalkan Program Pembangunan Kapasiti untuk melatih 45,000 usahawan India termasuk golongan ibu tunggal dan B40.

"Kami juga berikrar ke arah mewujudkan Bank Koperasi untuk membantu usahawan memperolehi pembiayaan kewangan serta mewujudkan dana pusingan sebanyak RM500 juta bagi membantu usahawan India," katanya.

Dalam tonggak keempat, beliau berkata MIC berjanji mewujudkan 'rumah transit' di kawasan B40 untuk meningkatkan pencapaian akademik dan penglibatan sosial golongan itu.

-- BERNAMA