50 'Desa Digital' menjelang hujung tahun ini - Ismail Sabri 
JITRA, 18 April (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyasarkan untuk melaksanakan visi merakyatkan ekonomi digital melalui inisiatif 'Desa Digital' di 50 kampung di seluruh negara dengan kolaborasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).
Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sasaran melalui fasa pertama itu menyaksikan KKMM setakat ini telah meluluskan inisiatif berkenaan di 11 kampung seluruh negara manakala baki 39 lagi kampung dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga hujung tahun ini.
"Melalui inisiatif ini masyarakat di luar bandar boleh mengakses kemudahan internet secara percuma dalam jarak lingkungan 50 hingga 100 meter dari Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (Mini RTC) dan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)."
"Ini kerana kelajuan internet penting bagi membolehkan usahawan luar bandar melibatkan diri dengan perniagaan dalam talian atau ekonomi digital sejajar seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merakyatkan ekonomi digital," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Desa Digital Peringkat Kebangsaan di Mini RTC Bemban di sini hari ini.
Program Desa Digital bertujuan menaik taraf kemudahan capaian internet di luar bandar daripada kelajuan sedia ada kepada kelajuan yang lebih tinggi iaitu 20Mbps di kampung-kampung terpilih.
Pemilihannya adalah berdasarkan kepada kewujudan Mini RTC dan PI1M, capaian internet sekurang-kurangnya 3G dan LTE serta tersenarai sebagai kampung Desa Lestari di bawah program KKLW.
Antara 11 kampung yang telah diluluskan KKMM setakat ini bagi melaksanakan inisiatif Desa Digital ialah Kampung Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu; Kampung Lubok Sireh, Perlis; Kampung Sungai Itau, Kedah; Kampung Tagudon Baru, Ranau, Sabah.
Kampung Bemban dekat sini yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Alor Setar dipilih sebagai perintis program Desa Digital bermula tahun ini.
Sementara itu Ismail Sabri berkata pihaknya menyasarkan 500 lagi usahawan luar bandar akan berdaftar dalam portal beli-belah dalam talian, 11Street sehingga hujung tahun ini yang mereka boleh memasarkan produk desa secara dalam talian melalui platform tersebut.
"Sehingga kini seramai 500 usahawan telah berdaftar di dalam platform tersebut meliputi 425 produk," katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan merangkap Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajudin Abdullah.
-- BERNAMA