Pembinaan dua balai bomba dipercepatkan jika BN tadbir Selangor




BANTING, 18 April (Bernama) -- Pembinaan dua Balai Bomba dan Penyelamat di Setia Alam, Shah Alam dan Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dapat disegerakan sekiranya Barisan Nasional (BN) menawan semula Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kementerian itu mempunyai rancangan untuk membina balai bomba di kawasan yang berkepadatan penduduk seperti Setia Alam dan Bukit Rahman Putra.

Beliau berkata bagaimanapun, tanah berkeluasan 0.8 hektar (dua ekar) di setiap lokasi itu tidak dapat dibangunkan untuk projek balai bomba kerana kerajaan Selangor mengenakan harga premium tanah yang mencecah RM4.5 juta bagi setiap tapak.

"Kita mahu bina balai bomba untuk kepentingan masyarakat setempat tetapi kenapa kerajaan negeri mahu ambil keuntungan daripada pembinaan balai bomba tersebut?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang di sini, hari ini.

Noh membidas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana beliau seharusnya menggunakan kuasa budi bicaranya untuk mengurangkan harga premium tanah itu selaras dengan misi kerajaan negeri iaitu negeri berkebajikan.

"Kata negeri berkebajikan tetapi kebajikan rakyat Selangor pun tidak diutamakan,"katanya.

Noh turut berjanji untuk berusaha membina rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan estet khusus bagi masyarakat India di Selangor sekiranya BN berjaya mentadbir Selangor selepas PRU14 nanti.

"Apabila ada rumah, masyarakat India yang bekerja di estet tidak perlu lagi berpindah keluar sekiranya mereka telah bersara atau estet itu terlibat dalam program pembangunan.

"Kita mahu kawasan estet ini turut dijadikan perkampungan masyarakat India seperti mana masyarakat Melayu dan Cina yang mempunyai kampung mereka masing-masing," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU14 pada 9 Mei dan tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal pada 5 Mei.

--BERNAMA